Najib berdepan 4 dakwaan babit RM84 juta dana SRC bukan kes RM2.6b
11:07 Jul 04, 2018  |  By SabahKini2
Najib berdepan 4 dakwaan babit RM84 juta dana SRC bukan kes RM2.6b

Selepas berhempas pulas dengan mendakwa RM2.6b dicuri dari 1MDB kini tiba kepada pertuduhan tetapi hanya kes SRC.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang berjumlah RM84 juta.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Najib selepas 4 pertuduhan dibacakan di depan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu perdana menteri dan menteri kewangan, Advisor Emeritus SRC dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-2, Najib didakwa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ke-3, Najib didakwa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan ke-4, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan, menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Najib mengangguk faham selepas 4 pertuduhan itu dibacakan. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Barisan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas yang dibantu 11 Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Datuk Suhaimi Ibrahim, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Datuk Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan yang dibantu 5 peguam Harvinderjit Singh, Datuk Raj Krishnan, Farhan Read, Rahmat Hazlan dan Muhammad Farhan Shafee.

Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 2.35 petang semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes SRC.

Bekas perdana menteri itu hadir ke ibu pejabat SPRM sebanyak 2 kali untuk direkodkan keterangan berhubung kes berkenaan.

 

 

Comment