Musa Aman akan pulang tidak lama lagi, kata Fuzi
15:07 Jul 11, 2018  |  By SabahKini2
Musa Aman akan pulang tidak lama lagi, kata Fuzi

Ketua polis negara itu berkata, disebabkan itu pihaknya berfikir tidak ada keperluan untuk menghantar pasukan ke United Kingdom (UK) bagi mengambil kenyataan Musa.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya yakin bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman akan pulang ke negara ini dalam masa terdekat.

Ketua polis negara itu berkata, disebabkan itu pihaknya berfikir tidak ada keperluan untuk menghantar pasukan ke United Kingdom (UK) bagi mengambil kenyataan Musa.

“Kita dah ‘alert’ pihak berkenaan termasuk rakan kita di UK. Kita juga sedang menunggu kepulangan beliau,” katanya pada sidang medianya pada Program Derma Darah Sempena Hari Peringatan Polis ke-211 di Bukit Aman hari ini.

Fuzi berkata Musa dikehendaki oleh pihak polis berhubung laporan yang dibuat ke atasnya.

“Tindakan-tindakan perlu untuk lengkapkan siasatan, jadi kita tunggu kepulangan beliau,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan polis sedang memburu Musa berhubung satu laporan ugutan jenayah terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Musa selepas itu manafikan dirinya beliau melarikan diri daripada disiasat pihak berkuasa negara ini dan sebaliknya mendakwa sedang berada di UK untuk menjalani rawatan.

 

2 Comments