Shafie Apdal puji ESScom yang dilaksanakan BN bagus
15:07 Jul 11, 2018  |  By SabahKini2
Shafie Apdal puji ESScom yang dilaksanakan BN bagus

Dulu hina Rela, pindahkan kem tentera kini ESSCom bagus

LAHAD DATU- Pewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) memberi impak positif terhadap tahap keselamatan di pantai timur Sabah dengan rekod penurunan kadar jenayah rentas sempadan berbanding sebelum penubuhannya, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, penubuhan organisasi itu sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan di Sabah selain melihatkan kerukunan, keamanan serta keharmonian penduduk di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Ini gambaran jelas untuk rakyat bahawa, kerajaan menerusi penubuhan ESSCom sentiasa memikir cara dalam menangani secara proaktif permasalahan aspek keselamatan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri ESSCom oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jaujan Sambakong di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata ESSCom merupakan mekanisme penting dalam menerajui jentera hadapan keselamatan di sekitar daerah dan perairan ESSZone yang terdedah dengan ancaman jenayah rentas sempadan.

Sehubungan itu, semua pihak perlu bekerjasama menjaga keamanan dan kesejahteraan negara serta mempertahankannya daripada sebarang ancaman.

"Suka saya ingatkan bahawa memelihara keamanan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab semua pihak meliputi pasukan keselamatan, penguatkuasa undang-undang, pemimpin dan rakyat,"katanya.

Sementara itu, Komander ESSCom DCP Datuk Hazani Ghazali berkata pihaknya komited menangani sebarang bentuk jenayah di ESSZone dengan pelbagai operasi dilaksanakan termasuk mewujudkan pusat pemeriksaan keselamatan di daratan iaitu  pusat pemeriksaan di darat, pusat pemeriksaan di laut  selain  pusat pemeriksaan  esdi laluan-laluan khas.

Hadir sama pada program itu Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu dari Parti Warisan Sabah, Dumi Pg Masdal.

1 Comment