Pelancong Masjid tidak boleh diharamkan namun tindakan akan lebih keras
11:07 Jul 13, 2018  |  By SabahKini2
Pelancong Masjid tidak boleh diharamkan namun tindakan akan lebih keras

Tindakan Keras. Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar berkata, pihaknya akan menghantar cadangan agar perkara itu diberi perhatian kerajaan.

KOTA KINABALU: Perbuatan kurang sopan yang ditunjukkan di kawasan masjid perlu dikenakan tindakan yang lebih keras.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar berkata, pihaknya akan menghantar cadangan agar perkara itu diberi perhatian kerajaan.

Menurutnya, Prosedur Operasi Standard (SOP) masjid khususnya yang menjadi tumpuan kunjungan pelancong juga perlu lebih diperkemaskan.

Beliau turut mengeluarkan arahan kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Jheains) dan masjid-masjid berhubung perkara itu.

"Kita tidak boleh terus mengharamkan pelancong untuk melawat ke kawasan masjid memandangkan itu antara pusat dan tarikan pelancong ke Sabah.

"Jika isu ini hanya melibatkan beberapa pelancong, janganlah menghukum ribuan pelancong lain yang berkelakuan baik.

Bagaimanapun jika ia berlaku, tindakan keras sepatutnya dikenakan kepada pihak yang terlibat," katanya kepada media di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pelancong China yang berkelakuan kurang sopan menari di hadapan Masjid Bandaraya baru-baru ini.

Terbaharu, satu lagi rakaman video tular menunjukkan seorang pelancong wanita yang berpakaian seksi membuat aksi tidak senonoh di hadapan Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurutnya, pihak UMS perlu berhati-hati dari segi SOP dan memberi kawalan kepada perkara sedemikian setiap masa.

"Dari segi hukuman denda, ia terletak di bawah Ordinan Kesalahan Kecil dan jumlah berkenaan adalah denda maksimum selain penjara tujuh hari.

"Itulah bidang kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Majistret," katanya.

2 Comments