Mahu diputihkan: ESSCom tahan 40 PATI Indonesia diseludup masuk ke Tawau
08:07 Jul 20, 2018  |  By SabahKini2
Mahu diputihkan: ESSCom tahan 40 PATI Indonesia diseludup masuk ke Tawau

Ditangkap

ESScom sendiri berhadapan tugas sukar, barter trade lagi bakal dibuka, program pemutihan dan pemberian dokumen kerja juga bakal diberikan. Semakin ramai lagi akan datang

TAWAU: Pengumuman Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Shafie Apdal mengenai usaha untuk memberi dokumen permit kerja kepada PATI nampaknya sudah mendapat reaksi yang baik dari pendatang asing tanpa izin dari seberang.

Terbaru dua lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia yang menyeludup masuk 40 migran warga Indonesia ke Tawau berjaya ditahan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di hadapan Masjid Kampung Hidayah Sawit Kinabalu, Ladang Kalabakan dekat sini, semalam.

Komander ESSCom DCP Datuk Hazani Ghazali berkata dalam Operasi Khas ESSCom itu, anggotanya terserempak dengan dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori yang menuju masuk ke kawasan perkampungan Kalabakan pada kira-kira  4 pagi.

Katanya hasil pemeriksaan, 18 wanita, 20 lelaki dan dua kanak-kanak lelaki yang kesemuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditemukan dalam dua pacuan empat roda dan lori berkenaan.

Ketiga-tiga pemandu berusia lingkungan 20 hingga 68 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penyeludupan migran, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

"Siasatan  awal ke atas migran yang ditahan mendedahkan bahawa kesemua mereka  membayar RM600 kepada seorang pengurus di Nunukan, Indonesia sebelum menaiki bot dari Nunukan dan tiba di Sungai Kalabakan Tawau pada kira-kira 1 pagi," katanya.

Kesemua migran ini masuk ke Kalabakan bertujuan mencari peluang pekerjaan di negeri ini, katanya.

Pemutihan pekerja asing di Sabah antara faktor menarik kehadiran warga asing ke Sabah.

Menurut Hazani, seorang daripada pemandu yang ditahan dipercayai bertanggungjawab menguruskan penghantaran kesemua migran ke Keningau.

Katanya selain  dua Toyota Hilux dan lori berkenaan, ESSCom turut merampas empat telefon bimbit serta mata wang rupiah bernilai 700,000 dan RM1,324 dalam operasi itu.

2 Comments