Royalti minyak : Ketua Menteri Sarawak kurang senang, Shafie kata akan semak
22:07 Jul 21, 2018  |  By SabahKini2
Royalti minyak : Ketua Menteri Sarawak kurang senang, Shafie kata akan semak

Royalti minyak 20% tidak seperti yang dijanjikan Dr Mahathir kerana dikirakan berdasarkan keuntungan bukan dari jualan kasar. Mengapa kenyataan Tun M bercanggah dan apa yang berlaku?

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut dengan penuh gembira pengumuman kerajaan persekutuan akan menunaikan janji memberi bayaran royalti 20% kepada semua negeri pengeluar petroleum di negara ini.

Datuk Seri Shafie Apdal begitu memuji-muji Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kononnya prihatin tentang hak Sabah dan pengumuman itu merupakan berita amat gembira

“Kami berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kami amat bersyukur. Ia berita baik bagi kami di Sabah. Ia merupakan janji yang ditunaikan dalam masa 100 hari dan suatu langkah sangat positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafie berkata, usaha mendapatkan bayaran royalti minyak 20% adalah sebahagian manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan), serta antara janji pilihan raya yang dibuat bersama rakannya dalam Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun kegembiraan itu tersekat seketika apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum dibuat berdasarkan jumlah keuntungan diperoleh daripada negeri berkenaan.

“Royalti adalah daripada keuntungan. Jika untung RM100 juta, maka RM20 juta jadi royalti.

“Ia berdasarkan keuntungan Petronas di sesuatu tempat. Maka apa yang kita kutip di Terengganu tidak akan dibayar kepada Sarawak dan Sabah " katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Penjelasan Dr Mahathir jelas mengundang rasa tidak senang pemimpin negeri dan netizen.

Pemimpin pembangkang Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan turut mempersoalkan cara pemberian royalti 20 peratus ini mengapa dikira berdasarkan keuntungan berbandiing royalti 5 peratus berasaskan penjualan kasar,malah boleh mendapat kosong.

Penyelidik Perjanjian Malaysia 1963, Zainnal Ajamain juga mempersoalkan kewajaran kiraan berdasarkan keuntungan kerana ia tidak mengiktiraf negeri sebagai pemilik sumber minyak dan gas.

“Jika ia keuntungan, itu bayaran tunai dan ia bertentangan dengan janji PH untuk 20% royalti minyak,” katanya 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga turut memberikan respon kurang senang berkata pemberian royalti petroleum berdasarkan pengeluaran dengan keuntungan adalah dua perkara berbeza dan sehubungan itu, kerajaan Sarawak mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada kerajaan persekutuan.

"Kita akan mendapatkan penjelasan kerana keuntungan dengan royalti tidak sama," katanya ringkas kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) ke-51 di Kuching.

Sementara itu Datuk Seri Shafie Apdal enggan mengulas pengumuman terbaru oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tentang pengagihan keuntungan untuk negeri-negeri pengeluar minyak. Kenyataan bercanggah Tun Dr Mahathir bercanggah, memalukan dan merencatkan usaha royalti 20 peratus ini.

Bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu Shafie berkata dia hanya akan menjawab soalan tentang kenyataan Dr Mahathir itu selepas perbincangan lanjut dengan perdana menteri.

“Saya akan beritahu kemudian. Saya perlu dapatkan butiran. Saya akan bercakap dengan Dr Mahathir,” katanya.

 Sebagai rekod tahun 2017, Sabah menerima RM1.214 bilion dan tahun ini dianggarkan RM1.318 blilion berdasarkan 5 peratus dari jualan kasar.

 

 

7 Comments