Royalti minyak 20 peratus berdasarkan keuntungan PH langgar janji- Dr Jeffrry
09:07 Jul 27, 2018  |  By SabahKini2
Royalti minyak 20 peratus berdasarkan keuntungan PH langgar janji- Dr Jeffrry

UCAPAN PERBAHASAN PARLIAMENT JULAI 2018 OLEH DATUK DR. JEFFREY KITINGAN, AHLI DEWAN RAKYAT P.180 KENINGAU, SABAH PADA 24 JULAI, 2018.

DATUK DR. JEFFREY G. KITINGAN
AHLI DEWAN RAKYAT P.180 KENINGAU, SABAH.

UCAPAN PERBAHASAN PARLIAMENT JULAI 2018 OLEH DATUK DR. JEFFREY KITINGAN, AHLI DEWAN RAKYAT P.180 KENINGAU, SABAH PADA 24 JULAI, 2018.

Terima kasih Tuan Yang DiPertua,

Tuan Speaker,
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan TERIMA KASIH kepada DYMM Yang DiPertuan Agong atas TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA.

Saya juga ingin mengucapkan TAHNIAH kepada Tuan Speaker diatas lantikan Datuk sebagai Yang DiPertua Dewan yang mulia ini.

1.3 Juga saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan TAHNIAH DAN SYABAS kepada Pakatan Harapan atas kemenangan PRU-14 dan atas perlantikan Perdana Menteri Malaysia yang baru juga kali kedua serta mencipta sejarah Perdana Menteri yang tertua dipilih.

1.4 TAHNIAH DAN SYABAS juga saya ucapkan kepada rakan-rakan beliau kerana berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan Malaysia Baru mengganti yang lama yang juga merupakan titik sejarah bagi Malaysia.

Tuan Speaker,
1.5 Peluang untuk dipilih dan dilantik sebagai Perdana Menteri kedua kali jarang sekali boleh berlaku.

1.6 Dengan izin, Tun Sir, I believe that there is probably a good reason for your second coming as the Prime Minister of Malaysia, especially for Sabah, Sarawak and for a new Malaysia.

HIGH EXPECTIONS ON NEW FEDERAL GOVERNMENT / P.M.

Tuan Speaker,

2.1 Justru, Sabah dan Sarawak MENARUH HARAPAN YANG BESAR kepada Kerajaan Persekutuan dibawah Pakatan Harapan untuk menyelesaikan masalah-masalah dan tuntutan-tuntutan mereka berasaskan MA63, 20-Perkara, IGC Report, Perlembagaan Malaysia, Janji-janji dan Jaminan-jaminan yang telah diberi semasa Penubuhan Malaysia.

2.2 Selama 54 tahun kami di Sabah Sarawak merasa kecewa, malah ada yang marah dan hilang sabar sehingga ramai yang MENUNTUT BERPISAH dari gagasan Malaysia (terutamanya di kalangan GEN-Y) kerana sudah kehilangan keyakinan dan harapan kepada Kuala Lumpur dan Pemimpin-pemimpin. Mereka kata.
“what is the benefit for Sabah, Sarawak being in Malaysia…??
We are just a colony of Malaya?

2.3 Betul atau tidak, inilah keluhan mereka dan terdapat banyak ketidakpuashatian - PRU-14 telah memberi nafas dan Harapan baru kepada Generasi baru ini, di mana hampir semua Parti Politik termasuk PH dan BN telah berjanji dalam Manifesto masing-masing untuk mengembalikan status dan Hak-Hak Sabah dan Sarawak termasuk autonomi sekiranya mereka menang PRU14.

2.4 28 tahun yang lalu, pada 13hb. Mei 1991, saya ditahan dibawah ISA kerana menyentuh Hak-hak Sabah dalam 20-Perkara. Apabila saya masuk Politik selepas itu, saya dipanggil “ORANG GILA” kerana berani (Gila) Menuntut Hak-hak Sabah yang pada waktu itu di “haramkan” tetapi dalam PRU-14 semua pemimpin jadi “Gila” kerana dah ikut cakap orang gila dan memasukkan Isu MA63 dan Hak-hak Sabah Sarawak dalam Manifesto Mereka.

JANGAN “JANJI TERANG BULAN”

3.1 Sekarang PH dah jadi Kerajaan dan Tun Mahathir telah menjadi Perdana Menteri yang Kedua kali. Janganlah jadikan Janji dalam Manifesto “MENGEMBALIKAN HAK DAN STATUS SABAH SARAWAK DALAM 100 HARI” sebagai hanya “JANJI TERANG BULAN” kami bilang kalau di Sabah. Sepertimana yang telah berlaku kepada MA63 selama 55 tahun.

4. 55 YEARS OF COLONIAL EXPLOITATION

Tuan Speaker,

4.1 Saya nak bagi tahu bahawa selama 55 tahun kami di Sabah Sarawak merasa seolah-olah kami dijajah semula. 22 tahun daripada 55 tahun itu adalah dibawah YAB Perdana Menteri sekarang.
Kami merasa dijajah kerana:-

Minyak/Gas kami diambil alih Kerajaan Pusat melalui Petronas

4.1.1 Vesting Order yang ditandatangani oleh YAB Tun Abdul Razak pada 27 March 1975 menyerahhak hakmilik minyak dan gas Sabah kepada Petronas dibawah Petroleum Development Act 1974 adalah tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan sebab petroleum adalah mineral dibawah hal “Tanah” dan “Tanah” disenaraikan sebagai Hak Negeri dibawah “STATE LIST”.

Hak 40% Hasil Kewangan Yang DiPerolehi Dari Sabah Tidak Dibayar

4.1.2 40% hasil bersih daripada Hasil yang diperolehi Persekutuan dari Sabah dikehendakki dikembalikan kepada Sabah seperti mana yang dipersetujui dalam Perenggan 28 IGC Report dan Article 112C/112D dan Jadual 10 Perlembagaan Malaysia. Jumlah 40% tersebut adalah berbilion-bilion setiap tahun tetapi ianya tidak dibayarbalik kepada Sabah sejak tahun 1974.

4.1.3 YB Ahli Penampang merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah memberitahu rakyat Sabah semasa PRU-14 bahawa 40% hasil bersih ini dihutang sebanyak RM1.0 trilion oleh Kerajaan Persekutuan. Saya beharap YB Penampang merangkap Menteri MITI akan memastikan 40% hasil bersih ini yang mungkin RM1 trilion dikembalikan kepada Sabah.

Hak Franchise Politik Sabah

4.1.4 Hak Franchise Politik Sabah telah diberi kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) melalui Project IC dan Ops Durian Buruk seperti yang disahkan dan didedahkan dalam Lapuran RCI mengenai Pendatang Asing di Sabah.

4.1.5 Lapuran RCI tersebut juga mengesahkan dan mendedahkan bahawa bahawa Kad Pengenalan IC dan MyKad telah diberi kepada warga asing tanpa mengikut undang-undang dan juga warga asing yang tidak berlayak telah dimasukkan dan didaftarkan sebagai pengundi dalam Daftar Pemilih oleh SPR.

4.1.6 Dengan pemberian IC, warga asing PTI sudah menjadi PATAI, PENDATANG ASING TAPI ADA IC.

4.1.6 Sekarang Kementerian Dalam Negeri sedang sibuk memburu PTI di Malaya tetapi Kerajaan Sabah sekarang yang belum sah sambil menunggu keputusan kes di Mahkamah, lebih berprihatin kepada PTI dan pendatang asing dan memberi dokumen sah kepada mereka melalui proses pemutihan.

4.1.7 Ramai Sabahan tidak mempercayai ketelusan dan integriti proses pemutihan ini. Macam dulu, pelarian dari Filipina Selatan telah diberi IMM13 tetapi lama-lama, hampir semua diberi IC dan MyKad walaupun telah dijanji IMM13 hanya untuk sementara waktu dan kewarganegaraan tidak akan diberi. Akibatnya, PTI dengan IC telah membanjiri Sabah dan bilangannya 1.7 juta mengatasi warga Sabah tulen 1.5 juta dan menjadi “FIXED DEPOSIT” kepada Kerajaan yang lalu.

4.1.8 Kenapa tidak mengambil tindakan melalui proses undang-undang? Saya ingin mengingatkan bahawa terdapat ramai Sabahan yang pergi ke Australia secara sah tetapi telah berkerja tanpa permit yang sah atau ditipu oleh agen-agen pekerjaan, mereka ditangkap, dimasukkan dan dipenjarakan dalam lokap dan dihantar pulang. Kenapa Kerajaan Persekutuan tidak membuat sebegitu di Sabah kepada PTI dan tidak membuat pemutihan?

Demografi Kependudukan Sabah DiUbah

Tuan Speaker,

41.9 Demografi kependudukan Sabah di ubah dalam proses memelayukan penduduk Sabah melalui pemberian IC dan Mykad kepada orang asing yang masih menuntut Sabah sebagai Wilayah mereka.

4.1.10 Dengan izin,
This move by the Federal government is compromising our national security as can be seen in the Tonduo, Lahad Datu, intrusion, and the cross-border kidnappings and rise in crimes and social problems including street kids asking for handouts from tourists and passing cars, drugs abuse and sale of illegal cigarettes smuggled from neighbouring countries.

Kuasa Politik Dan Kedaulatan Sabah

4.1.11 Kuasa Politik Sabah dan Kedaulatnya dipusatkan dan dikuasai oleh Kuala Lumpur melalui kemasukan UMNO ke Sabah oleh Presiden UMNO pada waktu itu, sekarang sebagai Ketua Pakatan Harapan.

4.1.12 Kini, kerosakan kuasa politik diteruskan ala Umno 2.0 melalui PPBM dan proksinya dan parti-parti Pakatan Harapan lain dan dibantui oleh segelintir pemimpin orang Sabah.

Tuan Speaker,

4.1.13 Untuk Malaysia kekal dan diteruskan dengan aman dan makmur tanpa apa-apa keretakan, sensitiviti rakyat Sabah dan Sarawak harus dihormati dan tidak dicabuli. Ini bermaksud, parti-parti dari Malaya harus tidak bertapak di Sabah dan Sarawak dan Part-parti tempatan mereka harus diberi kuasa mentabdir-urus wilayah mereka dengan autonomi penuh. Biarlah Parti-parti politik dari ketiga-tiga wilayah itu bekerjasama diperingkat pusat/federal. Wakil-wakil dan pemimpin-pemimpin Pakatan di Sabah dan Sarawak boleh beralih ke parti-parti tempatan.

5. PERDANA MENTERI KEDUA KALI – HARAPAN BARU?

5.1 Dengan izin,
I met YAB Prime Minister in 1991, after my ISA detention, and he told me “ I regret bringing UMNO to SABAH…”

I ask “WHY”

He said “Leaders are only self-serving…..” so, I said “ bring it back…
He replied “SUSAH”…

5.2 Mr Prime Minister, you are now the PM again.
You have the rare and priceless opportunity to undo past mistakes and to put things right. Sabah and Sarawak have suffered for past 55 years, 22 years or 40% of which were under your watch.
I am confident that you will do the right things, Sir, under MALAYSIA BARU.

5.3 Dengarkanlah keluhan kami di Sabah, Sarawak, jangan biarkan Malaysia hancur –
SELAMATKANLAH MALAYSIA dengan mengambil tindakan-tindakan seperti berikut :

Kembalikan status Sabah Sarawak sebagai rakan kongsi samarata dan samataraf dengan Malaya. Pada masa yang sama, mansuhkan pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan 27hb Ogos 1976 yang menurunkan taraf Sabah, Sarawak sebagai Negeri ke-12 dan ke-13 sama seperti Perlis dan memulihkan Artikel 1(2) asal yang berkuatkuasa pada 16hb September 1963.

Tunaikanlah Janji-Janji, Jaminan-Jaminan dan Akujanji-Akujanji dalam Article 8 MA63, IGC Report dan Perlembagaan Malaysia.

Kembalikan Hak Hasil Kewangan Sabah khususnya seperti berikut yang termaktub dalam Artikel 112C dan Bahagian IV dan V Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan:-
40% Net Revenue derived from Sabah;
10% Import Duty on Petroleum Products;
10% Export Duty on Oil and Gas in lieu of Royalties.

Saya ingin memperingati bahawa Ahli-ahli Kabinet dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan mulia ini, kita telah berikrar mematuhi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia. Jika Kerajaan Persekutuan tidak mengembalikan hak-hak kewangan tersebut seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, maka kita semua telah melanggar ikrar kita dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Serahbalik hakmilik minyak dan gas Sabah dan Sarawak kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak. Batalkan Vesting Order yang menyerah hakmilik minyak dan gas kepada Petronas. Alternatif lain, biarlah Petronas itu dimiliki bersama oleh semua Negeri Pengeluar Minyak.

Melaksanakan Lapuran RCI mengenai Pendatang Asing di Sabah dengan mengambil tindakan untuk membatalkan IC dan MyKad yang telah diberi tidaksah dan mengeluarkan pengundi-pengundi hantu dari Daftar Pemilih SPR.
Hentikan segala tindakan dan pemberian IC dan MyKad tidak mengikut undang-undang di Sabah. Jangan menghalang pelaksanaan SABAH IC oleh Kerajaan Sabah untuk Sabahan yang tulen.

Benarkan Sabah melaksanakan kuasa autonomi penuhnya sebagai rakan kongsi samataraf dalam Persekutuan Malaysia dan jika perlu, amalkan “1-Persekutuan 2-Sistem” dalam pentadbiran Malaysia dimana apa-apa dasar dan polisi harus diadaptasi mengikut acuan Sabah dan dengan consensus daripada Kerajaan Sabah.

Utamakan dan pesatkan pembangunan di Sabah untuk mencapai pembangunan sama taraf yang berada di Malaya supaya rakyat Sabah dapat menikmatinya seperti rakyat Malaysia yang lain di Malaya.

Saiz kawasan saya, Keningau (3,533 sq.km.), adalah lebih besar daripada 3 Negeri (3,505 sq.km.) iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Perlis tetapi lebih 70% kawasan tidak ada bekalan air terawat. Lebih 80% jalan kampung adalah jalan gravel dan pada musim kemarau, orang kampung terpaksa hidu habuk jalan dan mandi lumpur pada musim hujan mengguna jalan gravel tersebut.

Di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan lebih dari RM100 bilion, bilion bukan ratusan juta, untuk membina MRT dan LRT. Ini pun belum ambilkira keretapi double-tracking dari Johor Baru ke Perlis.

Sarawak dan Sabah adalah penyumbang ke-3 dan ke-5 tersebar kepada ekonomi dan perbendaharaan Malaysia. Tetapi, hanya Malaya yang dibangunkan dan Sabah Sarawak dipinggirkan dan termundur serta termiskin dalam Malaysia. Tanpa hasil minyak dan gas daripada Sabah dan Sarawak, Malaysia mungkin sudah bankrap.

Oleh yang demikian, adalah munsabah untuk Kerajaan Persekutuan dengan serta-merta menurap segala jalan kampung di seluruh Sabah, yang saya difahamkan hanya mungkin membelanjakan RM3.0 bilion. Juga untuk membina loji-loji rawatan air diseluruh Sabah. Kita tidak perlu empangan dan loji-loji yang besar, yang kecil-kecilan untuk menampung keperluan orang kampung adalah memadai.

Kotaraya Kota Kinabalu dan Kuching perlu dibina sistem pengangkutan Light Rail Transit (LRT) dan untuk Kota Kinabalu saya difahamkan bajet adalah lebih kurang RM3.0 bilion.

Untuk memajukan luarbandar dan Taman Gunung Kinabalu dan menyenangkan perhubungan jalanraya, harus dibina terowong ke Tambunan/Keningau dan Kundasang/Ranau.

Untuk memastikan tiada penyelewengan seperti yang berlaku di Jabatan Air Sabah dimana ratusan juta disita oleh SPRM di pejabat dan rumah, dan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dimana ratusan juta dituduh disalurkan daripada dana pembangunan.

Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pelbagai program dan projek bagi memastikan semua rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Tuan Speaker,

Oleh demikian, saya menggesa bahawa pada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, Kerajaan Persekutuan akan ubah fokus dan memberi tumpuan dan peruntukan 50% kepada Sabah dan Sarawak bagi tempoh separuh penggal yang akan datang.

Sejarah Pembentukan Malaysia juga perlu diperbetulkan supaya sejarah yang betul diajar di sekolah-sekolah dan supaya rakyat tahu-menahu dengan sejarah yang bertul.
Persekutuan Malaysia hanya dibentuk pada 16hb September 1963 dan ianya tidak wujud sebelum itu dan sebagai sebuah negara baru, ia tidak pernah dijajah dan tidak dimerdekakan.

Yang merdeka pada 31hb Ogos 1957 adalah the Federation of Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu. Bapa-bapa kemerdekaan Sabah dan Sarawak tidak bersetuju untuk menyertai Malaya tapi bersetuju bersama-sama Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia. Adalah satu kesilapan dan penipuan untuk mengatakan bahawa UMNO telah memperjuangkan untuk kemerdekaan Malaysia atau Malaysia merdeka pada 31hb. Ogos 1963.

Jangan dipaksakan rakyat Sabah dan Sarawak untuk menerima 31 Ogos 1957 sebagai Hari Merdeka Malaysia sebab ia memang bukan fakta yang benar.

6. ISU ROYALTI MINYAK KENAIKAN DARI 5% KEPADA 20%

Tuan Speaker,
6.1 Mengenai isu royalti minyak, ada beberapa isu yang perlu penjelasan daripada YAB Perdana Menteri.

6.2 Dalam perbincangan harian dan dalam Manifesto Pakatan Harapan, jelas dinyatakan bahawa 5% royalti akan dinaikkan kepada 20% royalti. Sebenarnya “royalti” yang dirujuk ini adalah merupakan “CASH PAYMENT” dibawah Section 4 PDA74 dan bukan “royalti” yang biasa digunapakai sebagai merujuk kepada bayaran kepada tuan hakmilik sesuatu perlombongan. Oleh demikian, janji bayaran 20% royalti adalah merujuk kepada kenaikan CASH PAYMENT dari 5% kepada 20% berdasarkan jumlah pengeluaran kasar (gross) dan bukan kepada apa-apa keuntungan atau tidak.

6.3 Mengenai isu “royalti” dalam konteks maksud biasa, bagaimana YAB Perdana Menteri boleh mempertahankan perlucutan hak Sabah untuk mengenaikan “royalti” keatas pengeluaran minyak dan gas seperti yang terkandung dalam Seksyen 24 Ordinan Tanah Sabah. Perlucutan hak mengena “royalti” ini terkandung dalam Clausa 4 Perjanjian Minyak bertarikh 14hb Jun 1976 yang ditandatangani oleh mantan Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh, manakala tidak dipersetujui dan enggan ditandatangani oleh bapa-bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Mustapha Harun dan Tun Fuad Stephens, pada tahun 1975-1976. Seksyen 4 tersebut menyatakan:
“the State agree to waive any royalty rights…”
Kenapa Sabah dipaksa melucutkan hak mengenakan royalti?

Tuan Speaker,
6.4 Saya ingin menarik perhatian YAB Perdana Menteri, YB Menteri Kewangan dan Kerajaan Persekutuan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Sabah dan Sarawak tidak boleh dihalang daripada mengena dan mengutip “royalti” keatas minyak dan gas Sabah dan Sarawak. Artikel 112C (4)(b) dibaca dengan Artikel 110 (3B) memperuntukkan bahawa Parlimen tidak boleh mehalang atau menyekat Sabah dan Sarawak daripada pengenaan “royalti” keatas minyak dan gas mereka. Article 112C (4) menyatakan:-
“(4) Subject to Clause (5) of Article 112D, in relation to the State of Sabah or Sarawak, Clause (3B) of Article 110 –
(a) Shall apply in relation to all minerals, including mineral oils: but
(b) Shall not authorise Parliament to prohibit the levying of Royalties on any mineral by the State or to restract the royalties that may be to levied in any case so that the State is not entitled to restore a royalty amounting to ten percent ad valorem (calculation as per export duty).”

6.5 Oleh yang demikian, saya menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mematuhi Perlembagaan dan tidak menghalang atau menyekat Sabah dan Sarawak daripada mengena dan mengutip royalti keatas minyak dan gas mereka. Petronas harus membayar royalti selain daripada CASH PAYMENT. Jika Sabah dan Sarawak tidak mengutip royalti, maka mereka berhak menerima duti ekspot keatas minyak dan gas sehingga 10% nilai ad valorem bagi mengganti royalti seperti yang termaktub dalam Item 3, Bahagian V, Jadual Ke-10.

6.6 Dalam Manifestonya, Pakatan Harapan telah berjanji menaikkan royalti minyak daripada 5% kepada 20%. Sekarang 5% tersebut adalah berdasarkan kepada jumlah pengeluaran kasar (gross production). Oleh demikian, 20% royalti tersebut harus berdasarkan kepada jumlah pengeluaran kasar juga. Ini juga merupakan ekspektasi rakyat Sabah dan Sarawak berdasarkan Manifesto tersebut. Akan tetapi, dalam jawapan dalam Dewan mulia ini telah menukar 20% tersebut berdasarkan keuntungan. Dengan izin, Are you changing your promise on the 20%, Sir ?

6.7 Sekiranya 20% adalah berdasarkan keuntungan, ia bermaksud “profit-sharing and has nothing to do with “royalty”. If so, it also means that the oil producing States, Sabah, Sarawak, Terengganu and Kelantan, are owners of the oil and gas resources and are entitled to impose “royalties” as per Article 112C(4) of the Federal Constitution.

7. STATUS OF SABAH SARAWAK AND REGIONAL DISPARITY

Tuan Speaker,

7.1 Dalam Titahnya, Tuanku telah menyentuh mengenai diskriminasi perkauman yang harus dihapuskan. Bukan sahaja adanya diskriminasi perkauman dalam regim Barisan Nasional dulu, juga berlaku diskriminasi wilayah, iaitu Sabah dan Sarawak dipinggirkan dan didiskriminasikan.

7.2 Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, khasnya kepada yang dari Malaya, selepas 55 tahun Malaysia ditubuhkan pada 16hb September 1963, Malaysia bukan sahaja terdiri daripada Melayu, Cina dan India dan lain-lain yang menghinakan Bangsa Sabah dan Bangsa Sarawak. Selalunya orang Malaya hanya akan rujuk kepada Melayu, Cina dan India seolah-olah Bangsa Sabah dan Bangsa Sarawak tidak wujud.

7.3 Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan telah dipinda berkuatkuasa 27hb Ogos 1976 dan menurunkan taraf Sabah dan Sarawak daripada rakan kongsi samarata dan samataraf dengan Malaya kepada Negeri Ke-12 dan Ke-13 sama dengan Perlis dan lain-lain Negeri di Malaya. Status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi samarata dan samataraf dengan Malaya harus dikembalikan dan Sabah dan Sarawak tidak boleh disamakan dengan Negeri-Negeri di Malaya.

7.4 Biar saya jelaskan kerana selama ini Sabah Sarawak telah mengalami banyak kerugian dan ketinggalan dalam arus pembangunan Negara kerana tanggapan yang salah. Tanggapan salah ini juga dibuat dengan sengaja oleh Kerajaan Persekutuan yang Malaya-centric. Dalam semua peta termasuk yang disebarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Peta Malaya adalah jauh lebih besar berbanding dengan Peta Sabah dan Sarawak. Hakikat sebenarnya adalah saiz Sarawak 124,449 sq.km. adalah lebih kurang dengan saiz Malaya 130,495 sq.km. Saiz Sabah adalah sama dengan saiz 9 Negeri di Malaya dan 90 kali saiz Perlis.

Diharap Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan menggunakan peta dengan saiz Malaya, Sabah dan Sarawak yang mencerminkan keluasan sebenar.

7.5 Melihat Sabah sebagai hanya satu-unit sama dengan pengiraan Perlis sebagai satu unit bukan cara yang betul dan menambahkan tanggapan yang salah. Sabah/Sarawak bukan satu unit dan tidak sama dengan Negeri-Negeri di Malaya, yang sepatutnya:-
MALAYA : 11 Negeri = 11 units
SABAH : 5/6/7 Bahagian (Residencies) = 5/6/7 units
SARAWAK : 9 Bahagian (Divisions) = 9 units
TOTAL : 25 to 27 UNITS

7.6. Negeri-Negeri di Malaya kebanyakannya kawasan kecil, lebih kecil daripada Daerah di Sabah dan Sarawak. Contoh adalah Kawasan saya, P.180 Keningau.

Keningau (P.180) = 3,533 sq.km.
3 Negeri boleh dimuatkan di daerah Keningau iaitu
Perlis 816 sq.km.
Pulau Pinang 1,039 sq.km.
Melaka 1,650 sq.km.
.3,505 sq.km.

7.7 Tapi Keningau hanya ada 1 MP, 3 ADUN.
Manakala 3 Negeri di Malaya itu, (Pulau Pinang, Perlis dan Melaka ) ada 26 MP dan 83 ADUN.
Kalau setiap MP diperuntukkan RM1 juta, Keningau hanya dapat RM1 juta, 3 Negeri dapat RM26 juta. Sekarang Kerajaan Persekutuan cadang memberi peruntukkan RM500,000.00 setiap MP. 3 Negeri Malaya itu akan mendapat RM13 juta manakala Keningau hanya akan mendapat RM100,000.00 sebab bukan Kerajaan walaupun kawasan keningau lebih besar.

7.8 Justru, perlu ada asas pertimbangan yang baru untuk memberi keadilan untuk Wilayah-Wilayah Sabah dan Sarawak.
Oleh sebeb itu, saya cadangkan supaya diadakan penstrukturan semula Sabah dan Sarawak supaya Wilayah-Wilayah pentadbiran Negeri yang dahulunya di namakan DIVISION atau RESIDENCY diiktiraf sebagai Wilayah-Wilayah yang sama tarafnya dengan Negeri-negeri di Malaya.

7.9 Dengan izin, this injustice has been overlooked by our leaders at the formation of Malaysia and should be corrected. i.e.
MALAYA - NEGERI - DAERAH
SABAH - RESIDENCY - DAERAH
SARAWAK - DIVISION - DAERAH
Cadangan ini adalah salah satu cara untuk mengimbangi ketidakadilan dan diskriminasi terhadap Sabah dan Sarawak.

KEPUTUSAN RAKYAT DAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

Tuan Speaker,

8.1 Dalam Titahnya, Tuanku telah mengulas bahawa RAKYAT TELAH PUN MEMBUAT KEPUTUSAN dan telah menasihati Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan mulia ini untuk bertindak supaya INSTITUSI PARLIMEN AKAN TERUS DIHORMATI dan dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar.

8.2 Juga tidak ketinggalan adalah Kerajaan Baru akan untuk meningkatkan integriti, tadbir-urus dan prinsip KEDAULATAN UNDANG-UNDANG.

8.3 Namun demikian, kita sudah nampak bahawa ada Ahli-ahli YB tidak menghormati dan tidak mematuhi keputusan rakyat manakala Kerajaan Malaysia baru dan pemimpin-pemimpinnya macam mengamalkan “DOUBLE STANDARDS” khasnya di Sabah.

Tuan Speaker,

Untuk makluman Dewan mulia ini, keputusan Dewan Undangan Sabah adalah 29 BN, 21 Warisan, 6 DAP, 2 PKR dan 2 Parti Solidariti. Ini bermaksud 29 BN and 29 Gabungan Warisan-DAP-PKR dan Parti Solidariti bersetuju bergabung membentuk Kerajaan Sabah berasaskan tiada BN dan tiada Umno, iaitu berkecuali sebab Pakatan Harapan telah membentuk Kerajaan Persekutuan. Hasil gabungan itu, Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dan Kabinet Sabah juga telah mengangkat sumpah pada malam 10hb. Mei 2019.

Akan tetapi, hasil lompatan katak oleh beberapa YB2 dari BN dan keengganan TYT Yang DiPertua Negeri Sabah menandatangani Watikah Lantikan untuk 6 Wakil Lantikan sebagai ADUN seperti yang dinasihati oleh Ketua Menteri Musa, seorang lagi telah secara tidak sah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang kedua. Ini telah mencetuskan krisis perlembagaan dan perkara ini telah pun dibawah ke Mahkamah untuk diadili dan masih dalam proses pendengaran.

Tuan Speaker,

Untuk mengelakkan berlakunya “double standards” pada masa akan datang, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran oleh Yang DiPertua Negeri, saya menggesa Kerajaan Persekutuan membuat reform perundangan supaya Yang DiPertua Negeri tidak dibenarkan menentukan soal cukup sokongan atau tidak melainkan sejurus selepas pilihanraya dan tidak selepas perlantikan Ketua Menteri.

Reform perundangan juga diperlu untuk mengistiharkan kerusi dikosongkan sekiranya sesiapa yang bertukar parti atau gabungan selain daripada yang ditandingi dan memerolehi kemenangan. Ini adalah demi mempertahankan keputusan rakyat yang telah membuat keputusan seperti yang dinasihati oleh Tuanku.

Justru, pemimpin Federal, agensi-agensi Federal harus menegakkan dan mengamalkan RULE OF LAW dan tidak harus berpihak kepada mana-mana pihak sambil menunggu keputusan Mahkamah. Tapi tindakan mereka seolah-olah mengamalkan DOUBLE STANDARD, cakap tidak serupa bikin. Kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin Federal termasuk Menteri, Ketua Polis Negara dan Pesuruhjaya Polis Sabah nyata berbaur politik dan memberi tanggapan buruk kepada satu pihak sambil berpihak kepada pihak yang lain. Tindakan pegawai Kehakiman pun Nampak seolah-olah mencampuri hal politik yang bercanggah dengan peranan keberkecualian mereka. Apapun, saya berharap tiada lagi tangan ghaib dibelakang kes krisis perlembagaan 2 Ketua Menteri atau campur tangan pihak-pihak yang lain selepas ini dan kes diputuskan mengikut THE RULE OF LAW without any interference.

PERKARA-PERKARA YANG LAIN

Tuan Speaker,

Izinkan saya menyentuh beberapa perkara yang lain.

(1) Jawatankuasa Institutional Reforms

9.1 Saya difahamkan bahawa satu “JAWATANKUASA INSTITUTIONAL REFORM” telah ditubuhkan untuk menyemak dan memberi nasihat mengenai perubahan dan reform untuk Malaysia Baru. Saya berharap Jawatankuasa tersebut akan meneliti dan menitikberatkan isu kesahihan MA63, samada MA63 masih sah memandangkan MA63 ditandatangani oleh Koloni-Koloni yang bercanggah dengan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai perjanjian antarabangsa, perpisahan Singapura daripada Malaysia pada Ogos 1965 dan pelanggaran serta ketidak laksanaan syarat-syarat, jaminan-jaminan, syor-syor dan akujanji-akujanji yang dipersetujui sejak 1963. Juga harus diteliti adalah status dan taraf Sabah dan Sarawak serta penggunaan Perlembagaan Persekutuan Malaya dengan pindaan berbanding dengan satu Perlembagaan baru untu Persekutuan 3 Wilayah, iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak.

(2) Jawatankuasa Khas MA63

9.2 YB. Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa satu JAWATANKUASA KHAS MA63 akan ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan MA63. Kerajaan Persekutuan harus mendedahkan dan memberi maklumat penuh mengenai Jawatankuasa Khas tersebut seperti Terms of Reference, Keahlian Jawatankuasa dan Tempoh Masa untuk Pengkajian dan sebagainya.

(3) Pusat Ekonomi dan Kesejahteraan Rakyat di Sabah

Tuan Speaker,

9.3 Menurut kajian Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Bank Dunia, Sabah merupakan Negeri Termiskin Di Malaysia. Sambil itu, seluruh dunia sudah mara ke era Digital Economy dan era Industrial Revolution 4.0 dan Sabah jauh ketinggalan.

Oleh demikian, saya mencadangkan Kerajaan Persekutuan membantu menubuhkan PUSAT EKONOMI DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT di Sabah serta satu RURAL ECONOMIC DEVELOPMENT INSTITUTE (REDI) di Sabah. Ini akan membantu menyediakan rakyat Sabah dan membangunkan ekonomi luar bandar di Sabah.

(4) Status ESSCOM di Sabah

9.4 Saya ingin bertanya apakah status ESSCOM di Sabah dibawah Kerajaan Pakatan Harapan?

(5) Institut Pendidikan Guru di Keningau dan Tawau, Sabah

9.5 Tahun lepas, Kerajaan lalu telah mengumumkan penutupan dua (2) Institut Pendidikan Guru (IPG) di Keningau dan Tawau, Sabah. Walaupun cadangan tersebut telah dibantah oleh pelbagai pihak di Sabah, namun Kerajaan lalu tidak prihatin dan telah meneruskan dengan tindakan untuk menutup kedua-dua IPG tersebut dengan alas an memberi keutamaan kepada Transformasi Nasional TN50 untuk melatihkan lebih ramai technician dan tenaga yang mahir dalam Vokasional dan dapat mewujudkan lebih banuak pekerjaan serta kos pelaksanaan dapat dijimatkan.

Tetapi masih ada alternatif-alternatif lain seperti Pusat-pusat Khidmat Negera yang ada di seluruh Negara yang lebih bermakna jika ditukar fokusnya kepada TN50 daripada menutup IPG yang tidak kurang pentingnya dalam melatih lebih ramai guru-guru. Saya merayu agar IPG Keningau jangan ditutup.

Adakah Kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan dengan penutupan kedua-dua IPG tersebut atau ianya akan diaktifkan semula dan beroperasi sebagai IPG? Membenarkan kedua-dua IPG tersebut beroperasi balik lebih bermakna lagi memandangkan terwujudnya Kementerian Pendidikan baru di Sabah.

(6) Penurunan Kuasa Autonomi untuk Pendidikan dan Kesihatan Sabah

9.6 Saya berpendapat bahawa Pendidikan dan Kesihatan akan lebih maju dan progresif jika ianya diwilayahkan dan tidak berpusat di Putrajaya oleh sebab pelbagai factor. Dasar Pendidikan dan Kesihatan harus dirancang mengikut keadaan dan kaedah serta acuan Sabah jika bebas dan tanpa terikat dengan pelbagai ketuanan dari Putrajaya.

Oleh demikian, saya ingin bertanya apakah rancangan Kerajaan Persekutuan mengenai penurunan kuasa autonomi untuk Pendidikan dan Kesihatan untuk Sabah supaya ianya dapat ditadbirurus sendiri di Sabah memandangkan terwujudnya 2 Kementerian Baru di Sabah, agar tiada pertindihan kuasa?

(7) Ketelusan Mendedahkan Kedudukan Kewangan

9.7 Saya ingin menyokong tindakan Kerajaan Pakatan Harapan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenarnya. Ketelusan adalah salah satu pokok asas pentadbiran yang baik.

Saya berharap ini akan diamalkan sepanjang masa dan isu kedudukan kewangan tidak dipolitikkan macam di Sabah. Oleh sebab perebutan kuasa, isu kewangan Sabah dipolitikkan sehingga satu pihak menuduhkan bahawa tiada rizab kewangan dan hanya ada hutang ditinggalkan oleh Kerajaan Sabah lalu. Tetapi kebenaran akhirnya terbongkar bila diumumkan memang ada rizab kewangan yang melebihi RM3.3 bilion.

(8) Hapuskan Rasuah

Tuan Speaker,

9.8 Kita harus menyokong segala langkah untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan menghapuskan aktiviti-aktiviti rasuah supaya Malaysia amnya dan Sabah khasnya dapat menikmati pembangunan yang sebenarnya. Suka tidak suka, tidak boleh dinafikan bahawa skandal Jabatan Air Sabah dan skandal rasuah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah menjejaskan pembangunan bekalan air dan pembangunan luar bandar di Sabah.

Saya berharap Kerajaan Pakatan Harapan dan Ketua Peguam Negara tidak akan pilih bulu atau mengamalkan DOUBLE STANDARD dan mengambil tindakan terhadap kes-kes rasuah di Sabah tanpa kira pemimpin dari kerajaan atau tidak. Tetapi SPRM sudah nampak berpilih bulu dan hanya bertindak terhadap pihak bukan kerajaan dan parti-parti pro-kerajaan tidak disiasat walaupun jelas pemimpin terlibat diberi habuan jawatan, gaji dan keistimewaan walaupun tidak berhak sebab bukan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah manakala Parti saya dan saya disiasat atas tuduhan fitnah.

(8) Pembekuan Akaun Akibat Duit 1MDB

Tuan Speaker,
9.9 Pihak SPRM telah mengumumkan bahawa 900 lebih akaun bank telah dibekukan sebab disyaki melibatkan dana daripada 1MDB termasuk akaun parti politik Barisan Nasional.

Tetapi saya difahamkan bahawa ada akaun parti politik Sabah yang kini pro-kerajaan tidak dibekukan sebab parti tersebut kini membantu menubuh kerajaan melalui lompatan gabungan setelah keluar dari BN. Kenapa ini harus belaka dalam era Malaysia Baru? Jika akaun parti tersebut tidak dibekukan sebab parti tersebut kini pro-kerajaan, apa bezanya Kerajaan Malaysia Baru dengan Kerajaan BN sebelum ini?

Tuan Speaker,
Saya mengakhiri dengan menyokong Titah Tuanku Yang DiPertuan Agong dijunjung kasih.

Terima kasih.

Datuk Dr. Jeffrey Kitingan
P. 180 Keningau, Sabah
24hb. Julai 2018

8 Comments