Pemimpin Warisan mahu 'perintah berkurung' tidak digunapakai di Esszone
08:07 Jul 29, 2018  |  By SabahKini2
Pemimpin Warisan mahu 'perintah berkurung' tidak digunapakai di Esszone

Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir 6 petang ini akan dilanjutkan hingga 14 Ogos. Bagaimanapun Pembantu Menteri Pelancongan mahu "perintah berkurung" diubah

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir 6 petang ini akan dilanjutkan hingga 14 Ogos depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan terbabit diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh tersebut.

Menerusi kenyataannya di sini hari ini, perintah yang meliputi perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan dan Beluran itu dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan tersebut tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan di sekitar.

Beliau berkata perintah berkurung itu juga bertujuan menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan Esszone.

Sementara itu di Lahad Datu Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assafal P. Alian mencadangkan agar penggunaan perkataan 'perintah berkurung' tidak digunapakai bagi memperbetulkan persepsi masyarakat mengenai tahap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Menurut beliau, impak penggunaannya pada masyarakat khususnya di luar negara telah memberi tafsiran tahap keselamatan tidak selamat seperti negara-negara yang sedang berperang dan bergolak sedangkan hakikatnya berbeza.

"Apabila orang bercakap perintah berkurung seolah-olah yang mereka nampak ialah sebuah negara sedang berperang, negara bergolak.

"Sedangkan bila mereka berada di sini benda itu tidak ada berlaku, kita aman, anggota keselamatan berkawal seperti biasa," katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke destinasi pelancongan di beberapa pulau di daerah Lahad Datu hari ini.

Assafal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tungku mengambil contoh kekangan yang berlaku pada kedatangan pelancong dari Jepun yang dibatasi oleh pendekatan tafsiran penasihat pelancongan yang mencadangkan tidak memilih destinasi pelancongan di sini.

Katanya, perintah berkurung dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran dari jam 6 petang hingga 6 pagi dan ianya berjalan secara teratur dan aktiviti harian berlangsung seperti biasa.

"Mungkin penggunaan seperti projek kawalan keselamatan atau lain-lain agar jika didengar ianya tidak memberi penafsiran yang berat, sesuai dengan terjemahan yang menggambarkan keadaan sebenar iaitu keadaan kita di sini selamat, aman," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan itu tidak perlu dijadikan isu kerana kerajaan negeri tidak akan berkompromi pada soal keselamatan dan pematuhan undang-undang kerana ianya menjadi keutamaan pentadbiran.

Lebih-lebih lagi di kawasan sempadan negara yang perlu dipertingkatkan kawalannya dengan memanfaatkan konsep strategi lautan biru dan meningkatkan kekuatan serta keberkesanan aset.

Mengenai lawatan kerja itu, Assafal bersama Majlis Pelancongan Daerah yang dipengerusikan Pegawai Daerah Iman Ali melawat pusat pelancongan marin di sekitar Lahad Datu.

"Daerah ini mempunyai banyak destinasi pelancongan dan pelan pelancongan Teluk Darvel amat menarik untuk dimanfaatkan semua pihak.

"Saya mahu melihat dengan pelan komprehensif yang dilaksanakan di sini dapat membangunkan daerah ini kerana pelancongan adalah satu industri yang boleh diceburi semua rakyat.

"Seruan saya agar penduduk tempatan tampil menjadi pemain industri ini dan bukan menjadi golongan yang hanya menjadi penonton pembangunan," katanya.

Untuk rekod sebelum ini parti Warisan termasuk Presidennya mengkritik pelaksanaan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sehingga menghina anggota RELA yang diambil bertugas di zon itu malah menyindir kem tentera yang dibina di Lok Kawi dan beberapa tempat di Sabah. Kini mereka memuji-muji Esszone.

8 Comments