Penempatan Kg Darau Cadangan Azis hanya bersifat peribadi- Azhar
07:07 Jul 31, 2018  |  By SabahKini2
Penempatan Kg Darau Cadangan Azis hanya bersifat peribadi- Azhar

Saya sudah mengenal pasti dua kawasan lain untuk penempatan itu dan ia juga sudah dibincangkan dengan Jabatan Tanah dan Ukur- Azhar

Sebagai wakil rakyat di DUN Karambunai, saya amat memahami sentimen penduduk Kampung Darau yang masih kuat berpegang kepada adat. Cadangan Azis adalah hanya bersifat peribadi.

SEPANGGAR: KAMPUNG tradisi khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai termasuk Kampung Darau tidak sepatutnya dijadikan lokasi bagi penempatan sementara mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata 2, Likas.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Azhar Matusin berkata, beliau amat memahami sentimen penduduk Kampung Darau yang membantah kawasan perkampungan itu dijadikan penempatan sementara mangsa kebakaran terbabit.

“Sebagai wakil rakyat di DUN Karambunai, saya amat memahami sentimen penduduk Kampung Darau yang masih kuat berpegang kepada adat, termasuk hal berkaitan pemilikan tanah. Secara peribadi, saya berpegang teguh dan menghormati adat yang menjadi amalan turun temurun masyarakatnya.

“Saya juga sudah berhubung dengan beberapa wakil penduduk kampung itu. Sehubungan itu, saya harap penduduk tidak bimbang dan saya berjanji akan menangani serta menyelesaikan kemelut ini dengan segera. Saya berdiri teguh bersama penduduk,” katanya ketika dihubungi 

Kelmarin, kira-kira 250 penduduk Kampung Darau, Kota Kinabalu, berhimpun membantah cadangan menjadikan kampung itu sebagai tempat penempatan sementara mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2, Likas.

Bantahan itu disuarakan melalui himpunan aman dihadiri penduduk asal Kampung Darau di lokasi yang dicadangkan kerajaan sebagai tempat penempatan itu.

Pada 24 Julai lalu, hampir 800 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 150 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Cenderamata 2, Likas.

Mengulas lanjut, Azhar yakin penempatan mangsa kebakaran di Kampung Darau yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman hanya cadangan peribadi atau mempunyai sebarang niat tertentu.

“Saya akan ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat, jika ada kesempatan akan bertemu dengan Datuk Mohd Azis untuk membincangkan isu ini, termasuk berkaitan kawasan lain untuk penempatan itu dan juga bentuk rumah yang akan dibina.

“Sebenarnya, saya sudah mengenal pasti dua kawasan lain untuk penempatan itu dan ia juga sudah dibincangkan dengan Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya

Sejak dari awal tercetusnya isu ini warga Karambunai dan netizen berpendapat Ahli Parlimen Sepanggar dan Adun Karambunai tidak sepakat dan saling berlumba menunjukkan siapa menjadi hero di Sepanggar sedangkan masalah sebenar adalah penduduk Kg Darau dan mangsa kebakaran. 

3 Comments