Shafie Apdal bakal luluskan tanah penempatan kekal di tanah kerajaan-JTU
21:07 Jul 31, 2018  |  By SabahKini2
Shafie Apdal bakal luluskan tanah penempatan kekal di tanah kerajaan-JTU

Kawasan yang dicadangkan tersebut telahpun dikemukakan kepada Ketua Menteri untuk pertimbangan- Safar

Untuk penduduk setinggan. Kawasan yang dicadangkan terletak di Kota Kinabalu yang berstatus tanah kerajaan dan tanah simpanan kerajaan yang masih tersedia dan tidak berpenghuni.

KOTA KINABALU- Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah telah mencadangkan kepada kerajaan negeri beberapa kawasan tanah kerajaan dan tanah simpanan kerajaan untuk pertimbangan bagi penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata Dua, Likas.

Pengarahnya Datuk Safar Untong menjelaskan semasa lawatan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ke lokasi kebakaran di kampung itu pada 25 Julai lepas, Ketua Menteri telah mengarahkan JTU untuk mengenal pasti kawasan tanah kerajaan dan tanah simpanan kerajaan yang sesuai dijadikan kawasan penempatan mangsa kebakaran tersebut.

"Kawasan yang dicadangkan terletak di Kota Kinabalu yang berstatus tanah kerajaan dan tanah simpanan kerajaan yang masih tersedia dan tidak berpenghuni.

"Kawasan yang dicadangkan tersebut telahpun dikemukakan kepada Ketua Menteri untuk pertimbangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Safar berkata Mohd Shafie telah menegaskan kawasan penempatan yang akan disediakan itu hanya akan diberikan kepada mangsa warganegara Malaysia.

Kebakaran itu berlaku pada 24 Julai lalu yang menyaksikan sekurang-kurangnya 150 buah rumah musnah dijilat api dan menyebabkan lebih 700 orang hilang tempat tinggal.- Bernama

4 Comments