Bina tugu peringatan Tanduo peringati jasa pasukan keselamatan dari Pengganas Sulu
02:09 Sep 14, 2018  |  By SabahKini2
Bina tugu peringatan Tanduo peringati jasa pasukan keselamatan dari Pengganas Sulu

Tugu peringatan pahlawan perlu dibina di kawasan pencerobohan di Tanduo oleh pengganas Sulu

LAHAD DATU- Dewan Persatuan Perniagaan Tiong Hua Lahad Datu mencadangkan agar sebuah tugu peringatan pahlawan dibina di kawasan pencerobohan di Tanduo bagi memperingati peristiwa berdarah di situ pada 2013 diceroboh oleh pengganas Sulu.

Pengerusinya, Tan Chen Teng berkata pembinaan tugu peringatan itu juga bertujuan memperingati jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan dan mereka yang terkorban dalam peristiwa tersebut.

"Tugu ini juga akan menjadi satu tarikan dimana pelancong-pelancong tempatan dan luar negara akan berkunjung ke Tanduo," katanya semasa berucap dalam majlis Hi Tea bersempena menghargai perkhidmatan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, SAC Hamzah Ahmad di sini, hari ini.

Hamzah yang telah berkhidmat sejak Ogos 2014 di daerah ini akan bertukar ke Bukit Aman dan dilantik sebagai Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Terdahulu, Hamzah turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 70 pegawai dan anggota pelbagai pangkat dalam satu majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.- Bernama

1 Comment