UMNO Sabah Sokong Penubuhan GBS
19:09 Sep 14, 2018  |  By SabahKini2
UMNO Sabah Sokong Penubuhan GBS

GBS akan menjadi gabungan parti-parti pembangkang yang kuat di Sabah dan kita berazam mengambil alih Kerajaan Negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang

KOTA KINABALU- Badan Perhubungan UMNO Sabah (BPUN) bersetuju  dan menyokong penubuhan blok pembangkang, Gabungan Bersatu Sabah (GBS) di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, GBS merupakan pakatan pembangkang yang menyatukan parti-parti pembangkang sedia ada di negeri ini.

Katanya, GBS yang kini dalam proses didaftarkan, setakat ini akan dianggotai oleh UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR.

“GBS akan menjadi gabungan parti-parti pembangkang yang kuat di Sabah dan kita berazam mengambil alih Kerajaan Negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat BPUN Sabah di bangunan UMNO, hari ini.

Hajiji berkata,  UMNO Sabah berpendapat parti-parti pembangkang sedia ada di negeri ini perlu bergabung dalam satu blok dan bergerak dalam satu tujuan demi membela kepentingan rakyat dan hak-hak negeri Sabah.

Turut hadir pada mesyuarat hari ini ialah Timbalan Pengerusi BPUN, Datuk Bung Moktar Radin, Setiausaha, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Ketua Penerangan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Bendahari-Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri, Datuk Jainab Datuk Ahmad Ayid, Ketua Pergerakan Pemuda, Aziz Julkarnain dan  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak. - www.umno-online.my

Comment