Selepas puluhan tahun Shafie Apdal Ziarah pusara Tun Mustapha
14:09 Sep 14, 2018  |  By SabahKini2
Selepas puluhan tahun Shafie Apdal Ziarah pusara Tun Mustapha

Shafie merenjis air mawar ke pusara Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun sambil disaksikan oleh Madius, Peter, Aidi dan Yusof serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas Uda Sulai

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September Shafie ingin memberikan penghormatan dan penghargaan terhadap sumbangan besar daripada tokoh-tokoh negarawan.

PUTATAN: Selepas puluhan tahun tak menziarahi Taman Memorial Tun Datu Mustapha hari ini Shafie Apdal bersama beberapa Menteri Kabinet Negeri menziarahi dan mengadakan sedikit majlis di pusara itu.

Shafie berkata, sudah tiba masanya untuk golongan muda mengingati para tokoh-tokoh yang telah memberikan sumbangan besar terhadap pembentukan negara ini.

"Ini kerana tokoh-tokoh negarawan telah berusaha sedaya-upaya terbang ke United Kingdom, masuk ke dalam kampung-kampung di Sabah dan Sarawak untuk memastikan komuniti-komuniti di sana termasuk dalam pembentukan Malaysia," katanya di sini pada Jumaat.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, negara ini bukan dimiliki oleh Semenanjung Malaysia, Sarawak ataupun Sabah. Sebaliknya Malaysia dimiliki semua warga negara Malaysia dan ianya perlu diiktiraf.

Ketika ditanya beliau Ketua Menteri pertama mengadakan lawatan sedemikian, Shafie menjelaskan lawatan itu bukan sahaja untuk menyatukan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September, tetepi juga ingin memberikan penghormatan dan penghargaan terhadap sumbangan besar daripada tokoh-tokoh negarawan.

"Tidak cukup untuk kita meraikan sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka tanpa memberikan penghormatan dan penghargaan kepada tokoh-tokoh ini yang telah memberikan sumbangan banyak terhadap Pembentukan Malaysia.

"Saya percaya tokoh seperti Tun Datu Mustapha dan Tun Fuad Stephens dan tokoh lain pada zaman mereka telah memberikan banyak sumbangan.

Dalam pada itu, Shafie turut mengadakan lawatan ke Makam Pahlawan, Masjid Negeri Sabah.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Neger Datuk Aidi Moktar, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Stephen Wong, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob serta barisan menteri Kabinet yang lain.

1 Comment