Batu Sumpah Amat Bermakna Dalam Pembentukan Malaysia
00:09 Sep 15, 2018  |  By SabahKini2
Batu Sumpah Amat Bermakna Dalam Pembentukan Malaysia

John yang sedang meniti usia emasnya itu berkata, sehingga kini beliau masih terasa jerih perih mendaratkan batu yang beratnya bertan-tan itu.

John Rijimin Sukah, 77, merupakan seorang daripada empat sekampung yang terlibat sejak awal mengali dan mendaratkan bongkah batu dari dasar Sungai Mosolog Senagang untuk dijadikan monument Perjanjian Malaysia 1963. -- fotoBERNAMA

John Rijimin Sukah, 77, merupakan seorang daripada empat sekampung yang terlibat sejak awal mengali dan mendaratkan bongkah batu dari dasar Sungai Mosolog Senagang untuk dijadikan monument Perjanjian Malaysia 1963. -- fotoBERNAMA

KENINGAU- Sejarah ‘Batu Sumpah Peringatan Keningau’ perlu ditulis semula, catatan sejarah terkini tidak tepat.

Batu itu diambil dari Sungai Mosolog Senagang dan bukannya Sungai Pegalan, kata John Rijimin Sukah, 77, salah seorang daripada empat suku kaum Dusun, yang merupakan penduduk Kampung Kukup Senagang yang terlibat menyediakan bongkah batu untuk monumen penting Malaysia itu.

“Saya mahu pembentukan negara Malaysia dihayati dengan sepenuhnya. Saya mahu penulisan sejarah dibuat dengan tepat,” tegas beliau mengenai bongkah batu megalitik setinggi dua meter, setebal 24 sentimeter dan 1.5 meter lebar itu.

John terkilan kerana nama beliau dan tiga sahabat sekampungnya - Ingui Taik, Sintan Damatang dan Yusef Yabung (ketiga-tiganya telah meninggal dunia) - yang membanting tulang mendaratkan batu itu langsung tidak direkodkan sebagai ‘rakyat pertama’ menyentuh batu yang melakar sebahagian inti pati Perjanjian 1963 itu.

“Sebelas hari kami bertarung nyawa menggali dan mendaratkan batu besar yang tertanam satu meter di dasar Sungai Mosolog Senagang itu,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di kediamannya di Kampung Kukup Senagang, 15 kilometer dari sini.

Tidak idam pingat

John yang sedang meniti usia emasnya itu berkata, sehingga kini beliau masih terasa jerih perih mendaratkan batu yang beratnya bertan-tan itu.

“Saya sedih mengenangkan nasib sahabat-sahabat yang lebih dahulu menghadap Tuhan kira-kira dalam lingkungan 10 tahun lalu ... saya menangis setiap kali sambutan hari kemerdekaan negara ini pada 31 Ogos,” kata bapa kepada 10 orang anak itu.

Beliau berkata, sepanjang hayat tidak ada sebarang penghargaan diterima daripada mana-mana pihak bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka.

“Saya tidak pernah mengidamkan pingat-pingat kebesaran, cuma saya mahu nama-nama kami ditulis sebagai sebahagian daripada rakyat yang mempunyai sumbangan besar kepada negara,” katanya. Bagaimanapun menambah bahawa tidak akan menolak jika diberikan anugerah kebesaran kepada mereka berempat.

Ternyata, tidak ada sebarang catatan mengenai kisah beliau dan rakan-rakan berkaitan Batu Sumpah Keningau. Mungkin ia disebabkan tumpuan lebih diberikan kepada tujuan serta pelbagai urusan rasmi pemberitaan batu itu serta perasmiannya.

Persetujuan bentuk Malaysia

Mengimbau kisahnya sepanjang 11 hari mendaratkan batu itu, John berkata, semuanya bermula pada 2 November 1962 selepas perbincangan dengan Pegawai Daerah Keningau ketika itu (22 Ogos 1962 - 16 Jan 1965), Richard A Lind (kini Tan Sri).

“Dia (Richard A Lind) arahkan kami menggali dan mendaratkan batu besar yang tertanam satu meter di dasar Sungai Mosolog Senagang.

“Dia memberitahu kami dengan jelas tujuan batu itu, iaitu untuk batu sumpah antara penduduk Dusun dan Murut sebagai persetujuan (penduduk pedalaman) membentuk negara Malaysia,” jelas beliau.

Atas sebab itu, kerja-kerja penggalian perlu dilakukan dengan cukup cermat dan teliti bagi memastikan keaslian batu itu terjaga.

Gali tujuh hari

Mereka memulakan penggalian sejak awal pagi dan antara cabaran sepanjang penggalian itu adalah banjir yang beberapa kali berlaku menyebabkan kerja-kerja sering terganggu, selain jari-jemari juga tercedera.

“Kami mengheret batu itu ke tebing secara manual dan hanya mampu mengerakkan enam inci setiap satu jam, memang sangat memenatkan kerana ia mengambil masa berhari-hari.

“Tujuh hari kami menggali dan mendaratkan batu itu, kemudian tiga hari lagi mengangkat batu mampat itu ke atas lori milik seorang kontraktor binaan yang bernama Nip Kui Siong (mendiang),” katanya.

Pada 31 Ogos 1963, iaitu sepuluh bulan selepas batu itu didaratkan upacara perletakan batu itu sebagai monument penting bagi penubuhan negara Malaysia dijalankan di hadapan Pejabat Daerah Keningau lama, yang terletak berhadapan hospital lama Keningau.

“Tujuh ekor kerbau jantan, khinzir dan ayam putih dikorbankan sebagai memenuhi upacara ritual persumpahan.

Perkara-perkara yang tertera pada batu itu adalah “Ugama bebas dalam Sabah; Tanah-tanah dalam Sabah dikuasai oleh Kerajaan Sabah; dan adat istiadat anak rakyat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan.”

Pindah ikut adat

Sementara itu, Adin Basinau, 73, memberitahu bahawa ketika upacara ritual itu, beliau baru berusia 18 tahun, namun berperanan sebagai penterjemah Bahasa Dusun ke bahasa Inggeris bagi membantu ketua bobolian, Puan Gulim Adau (mendiang) berkomunikasi dengan pegawai-pegawai tinggi British sepanjang upacara itu.

Bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Binaong Keningau pada ketika itu, Adin merupakan cucu kepada salah seorang pembantu bobolian yang berperanan sebagai penyedia peralatan dan pembaca mentera.

Monumen pembentukan negara Malaysia itu dirasmikan oleh Menteri Buruh Malaysia V. Manickavasagam, pada 31 Ogos 1964 dan disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens yang mewakili Parti United Pasok Momogun Organasation, yang dipimpin oleh Orang Kaya Kaya (OKK) Sodomon Kina (Sekarang Datuk Seri Panglima) bersama saudaranya Datuk G. S. Sundang.

Kesemua ketua etnik orang asal di kawasan pedalaman turut hadir untuk menyaksikan perletakan batu sumpah itu.

John dan Adin sependapat: “Tanpa Batu Sumpah Peringatan Keningau, negara Malaysia tidak mungkin terbentuk.”

Baru-baru ini, pada 9 Sept berlangsung projek pemindahan batu sumpah itu dari perkarangan Pejabat Urusetia Daerah Keningau ke Muzium Warisan Keningau.

Batu itu diangkat dan dipindahkan menggunakan lori 10 tan selain diarak sejauh satu kilometer dengan dipimpin oleh Ketua Bobolian Muri Kulim bersama 1,000 pengiring.

Sebanyak 21 haiwan ternakan termasuk kerbau jantan dan ayam putih dikorbankan dalam upacara ritual pemindahan Batu Sumpah Peringatan Keningau itu bagi memastikan proses pemindahannya berjalan lancar.

Upacara itu mematuhi segala terma serta kaedah mengikut adat istiadat penduduk Kadazandusun dan Murut (KDM) pedalaman sebagaimana dilakukan ketika batu sumpah berkenaan didirikan pada 31 Ogos 1964.

- Bernama

Comment