Bukan ‘Raymond Ahuar’ terlibat kes rogol wanita Indonesia- Pesuruhjaya Polis Sabah
18:10 Oct 09, 2018  |  By SabahKini2
Bukan ‘Raymond Ahuar’ terlibat kes rogol wanita Indonesia- Pesuruhjaya Polis Sabah

"Polis telah melakukan siasatan terhadap aduan kedua-dua wanita ini dan mendapati Raymond bukan suspek bagi kes rogol terbabit.Seorang suspek rakyat tempatan telah ditahan dan dia mengaku bersalah merogol kedua-dua mangsa,"

KOTA KINABALU - Polis mengesahkan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew, Raymond Ahuar tidak terlibat dengan jenayah rogol seperti dakwaan dua wanita Indonesia dalam rakaman video yang tular dalam laman sosial baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, suspek utama bagi kes itu telah diberkas polis pada 25 September lalu di sekitar daerah Keningau dan dua mangsa berkenaan turut dipanggil untuk membuat pengecaman.

Menurut Omar, kedua-dua mangsa telah mengesahkan suspek lelaki warga tempatan berusia 31 tahun itu adalah individu yang melakukan jenayah rogol terhadap mangsa.

"Polis telah melakukan siasatan terhadap aduan kedua-dua wanita ini dan mendapati Raymond bukan suspek bagi kes rogol terbabit.

"Seorang suspek rakyat tempatan telah ditahan dan dia mengaku bersalah merogol kedua-dua mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) di sini hari ini.

Omar juga mengesahkan laporan polis daripada kedua-dua mangsa tidak menyatakan Raymond sebagai antara suspek dalam kes ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Kesiksaan kerana menfitnah.

Raymond Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri nafi rogol 2 wanita

Terdahulu, dilaporkan video tular dalam laman sosial mengenai dua wanita Indonesia bernama Wilda dan Linda mendakwa diri mereka dirogol oleh Raymond dengan seorang lelaki dikenali sebagai Raden.

[ARTIKEL BERKAITAN: (VIDEO) Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Sabah didakwa terlibat kes rogol? ]

[ARTIKEL BERKAITAN: Raymond Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri nafi rogol 2 wanita ]

Bagaimanapun Raymond yang dimaksudkan ialah “Raymond” lain bukan Raymond Ahuar.

Raymond yang juga calon bagi Timbalan Angkatan Muda Keadilan Pusat dalam pemilihan PKR pada kali ini turut membuat laporan polis menafikan penglibatannya dalam jenayah berkenaan.

 

Comment