Pemuda UMNO perlu kerja keras dekati rakyat- Hajiji
12:10 Oct 17, 2018  |  By SabahKini2
Pemuda UMNO perlu kerja keras dekati rakyat- Hajiji

Dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, kita kena rajin bertemu dan bersama mereka. Layan rakyat dengan mesra tanpa mengira bangsa, agama dan juga fahaman politik.

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Umno Sabah diminta bekerja kuat bagi memastikan ahlinya mendapat semangat dan kekuatan baharu untuk meneruskan perjuangan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Pemuda Umno sebagai pejuang di barisan hadapan tidak harus berasa gentar atau patah semangat dengan tekanan dan cabaran yang dihadapi.

“Pemuda dan ahli Umno mesti tahan menghadapi tekanan serta cabaran memandangkan Umno kini adalah parti pembangkang.

“Pemuda Umno mesti bekerja keras bagi membangkitkan kembali semangat juang baharu ahli agar parti terus kuat dan mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan beliau dengan Ketua Pemuda Umno Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama ketua Pemuda Umno seluruh bahagian di bilik mesyuarat bangunan Umno Sabah pada Isnin.

Terdahulu, Hajiji menerima kunjungan hormat daripada Asyraf di pejabatnya. Asyraf berada di Sabah kerana menghadiri Program Semarak Semangat Bangkit Kembali Pemuda Umno di lima bahagian.

Hajiji turut mengingatkan kepimpinan pergerakan Pemuda agar terus menggiatkan gerak kerja mendekati rakyat di akar umbi.

“Dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, kita kena rajin bertemu dan bersama mereka. Layan rakyat dengan mesra tanpa mengira bangsa, agama dan juga fahaman politik.

“Sekiranya kita berkhidmat dengan ikhlas dan jujur serta bukan untuk kepentingan peribadi, maka rakyat akan melihat dan menilai apa yang kita telah buat untuk mereka,” katanya.

Beliau juga memuji kepimpinan Pemuda Umno kerana mempunyai semangat yang kental dalam meneruskan perjuangan parti.

Hajiji menegaskan, Umno Sabah masih mantap dan memiliki ahli yang setia kepada parti.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda Umno Negeri Ir Aziz Julkarnain, Penolong Setiausaha Pemuda Negeri Ir Rohan Ahmat, Ketua Penerangan Pemuda Umno Negeri Mazlan Joehari Manan dan Penolong Bendahari Haji Fadli Juanas.- UB

Comment