Sabah catat bayaran balik pinjaman kedua tertinggi di Malaysia: Tekun Nasional
20:11 Nov 05, 2017  |  By SabahKini2
Sabah catat bayaran balik pinjaman kedua tertinggi di Malaysia: Tekun Nasional

“Pencapaian ini membuktikan orang Sabah berupaya membayar balik pinjaman.

TENOM: Pelanggan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) di Sabah merupakan yang kedua tertinggi di negara ini yang membayar balik pinjaman Tekun.

Pengurus Pejabat Tekun Nasional Negeri Salim Abidin berkata 64 peratus daripada peminjam di Sabah telah membayar balik pinjaman mereka.

“Pencapaian ini membuktikan orang Sabah berupaya membayar balik pinjaman.

“Sebenarnya dengan rekod terbaik ini satu jaminan kepada peminjam-peminjam baharu yang ingin memulakan perniagaan di Sabah,” katanya kepada Bernama, di sini, kelmarin.

Menurutnya, Sabah mempunyai 25 cawangan Tekun Nasional termasuk di Kunak, Silam dan Telupid yang melibatkan kira-kira 35,000 peminjam.

Tekun Nasional merupakan agensi kerajaan yang berada di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Sementara itu Salim berkata, sekurang-kurangnya lima usahawan didikan Tekun Nasional dari Sabah telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Yang sangat membanggakan ialah mereka (usahawan bertaraf antarabangsa) memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan modal RM3,000 dan RM5,000,” katanya.

Beliau berkata, sasaran agensi itu adalah untuk mempromosikan perkhidmatan secara menyeluruh kepada kumpulan sasar dengan penekanan terhadap produk baharu seperti “Teman-Teman Tekun” yang menawarkan pinjaman secara berkumpulan dan “Temanita Tekun” yang memberikan kemudahan secara berkumpulan kepada kaum wanita sahaja.

Menurutnya, berdasarkan rekod pembayaran balik yang tinggi di Sabah, agensi itu tidak akan teragak-agak untuk memberi pinjaman kepada pemohon di negeri ini.

Mengenai Bajet 2018 yang menyenaraikan Tekun Nasional antara agensi mendapat agihan besar, Salim berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi “markah yang tinggi” kepada agensi itu.

“Ini (pengagihan besar dalam Bajet 2018) membuktikan Tekun Nasional boleh bekerja dan masih diberi tanggungjawab untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini, Tekun Nasional telah diberi agihan sebanyak RM500 juta dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di negara ini, khususnya golongan Bumiputera.-Bernama

1 Comment