Saya tak faham Pemuda Umno dah macam kanibalisme kata Nazri
23:10 Oct 31, 2018  |  By SabahKini2
Saya tak faham Pemuda Umno dah macam kanibalisme kata Nazri

Dulu Lim Guan Eng ketika masih Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP didakwa dan di mahkamah tidak ada pun suruh beliau letak jawatan, begitu juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau juga tetap Ketua Umum PKR dan HARAPAN.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Nazri Aziz membidas Pemuda Umno kerana mendesak supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berehat sementara daripada jawatan presiden.

Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen hari ini, Nazri menyifatkan perbuatan Pemuda Umno itu seperti amalan kanibal (manusia memakan daging manusia).

“Saya tak faham dalam pemuda (Umno) ini apabila presiden kena dakwa, cepat sangat (nak hukum). Dah macam kanibalisme, makan sesama sendiri.

“Walhal kalau kita tengok macam HARAPAN atau DAP dulu, tak ada masalah pun,” katanya.

Nazri berkata demikian mengulas gesaan Ketua Pemuda Umno, Aysraf Wajdi Dusuki sebelum ini agar Zahid bercuti seketika daripada jawatan presiden parti itu sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah.

Setia pada pemimpin

Mengulas lanjut, Nazri berkata Zahid tidak perlu berundur atau berehat seperti mana dilakukan Pakatan Harapan apabila ada pemimpinnya berdepan tuduhan di mahkamah ketika menjadi pembangkang.

“Kita tengok macam HARAPAN atau DAP dulu, tak ada masalah pun.

“Dulu Lim Guan Eng ketika masih Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP didakwa dan di mahkamah tidak ada pun suruh beliau letak jawatan, begitu juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau juga tetap Ketua Umum PKR dan HARAPAN.

“Ini adalah kesetiaan ahli-ahli parti pembangkang dulu, apa sekali pun berlaku kepada pemimpin, mereka tetap setia kepada pemimpin," katanya.

Tambah Nazri, Zahid juga tidak perlu berundur memandangkan beliau bukanlah penjawat awam.

"Beliau pegang jawatan yang dipilih perwakilan jadi kalau nak suruh turun ke apa, maka kena dapat balik (mandat) daripada akar umbi. Mungkin juga dimulakan usul di peringkat bahagian untuk beliau berehat, setakat mendesak saya ingat tak ada apa-apalah.

"Dalam soal begini kalau tubuh badan itu sendiri tidak merasakan bahawa nak berehat tak boleh buat apa-apa, itu saja. Ini pandangan saya," ujarnya.

Ketika ditanya apakah pesanan yang mahu disampaikan kepada Asyraf, Nazri berkata:

"Tak adalah (nasihat) saya rasa itu stail dia. Bagaimanapun kita dalam Umno membenarkan kebebasan bersuara kalau mereka menyatakan pandangan begitu, terpulanglah.

"Akhirnya nanti terpulang kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno," katanya.- mkini

1 Comment