Kabinet Sabah luluskan empangan Papar dan akan hadapi pengkritiknya kata Shafie
17:10 Oct 31, 2018  |  By SabahKini2
Kabinet Sabah luluskan empangan Papar dan akan hadapi pengkritiknya kata Shafie

September lalu Shafie Apdal bertegas akan terus membina empangan sekalipun rakyat bising atau lebih 1000 protes. Projek empangan termasuk di Kg Bisuang Papar akan terus dibina dengan kos RM2.8b.

Kerajaan negeri Sabah akan meneruskan pembinaan empangan Papar walaupun mendapat bantahan terhadap projek itu.

Menurut laporan The Malaysian Insight (TMI) Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal mengesahkan keputusan tersebut diluluskan mesyuarat kabinet negeri atas sebab keperluan pertambahan penduduk Sabah dan industri pelancongan.

Lawatan pelancong akan terjejas sekiranya tiada bekalan air, jelas Shafie, dipetik TMI.

Hal ini telah dikomunikasikan kepada Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar yang telah mengadakan lawatan kerja ke negeri itu menjelang pembentangan Bajet 2019 pada Jumaat ini.

Berhubung kritikan projek empangan itu dijangka membelanjakan RM2 bilion, Shafie dipetik sebagai berkata bahawa beliau akan melibatkan pengkritik dan menjelaskan keadaan yang sebenar.

Kira-kira 500 penduduk sebelum ini membantah cadangan empangan itu, memberitahu portal berita Free Malaysia Today bahawa kerajaan tidak meminta maklum balas daripada penduduk sebelum mengumumkannya.

Pemimpin bantahan Michael Frederick berkata empangan baru itu "lebih buruk" daripada empangan Kaiduan yang diusulkan sebelumnya kerana akan memberi lebih banyak kesan terhadap kawasan penempatan dan memaksa penduduk untuk berpindah.

Menteri Pembangunan Infrastruktur kerajaan Sabah, Peter Anthony sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa projek itu akan menjejaskan 200 penduduk di kawasan kampung sekitar dan berjanji kerajaan negeri akan memberi pampasan kepada mereka.

Anthony menjangkakan sebaik sahaja siap, empangan itu dapat membekalkan 700 juta meter padu air dan memberi amaran masalah kekurangan bekalan air akan berlaku jika tidak dibina.

September lalu Shafie Apdal bertegas akan terus membina empangan sekalipun rakyat bising atau lebih 1000 protes. Projek empangan termasuk di Kg Bisuang Papar akan terus dibina dengan kos RM2.8b.

[ARTIKEL BERKAITAN- Rakyat bising atau 1000 orang protes, empangan tetap dibina- Shafie Apdal ]

 

 

3 Comments