Kenapa tahan Musa menjelang keputusan kes ketua menteri Sabah kata peguam Musa
12:11 Nov 06, 2018  |  By SabahKini2
Kenapa tahan Musa menjelang keputusan kes ketua menteri Sabah kata peguam Musa

Pertuduhan itu adalah berdasarkan dakwaan yang dibuat 10 atau 14 tahun lalu. Ada unsur pendakwaan terpilih apabila ia dibangkitkan sekarang. Oleh itu, saya harap mahkamah tidak akan prejudis atau terpengaruh dengan penahanan bermotifkan politik oleh SPRM

Amer Hamzah yang merupakan peguam kepada bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mempersoalkan alasan penahanan anak guamnya menjelang keputusan kes berhubung penyandang jawatan ketua menteri Sabah yang sah.

Dalam kenyataan hari ini, Amer berkata Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dijadualkan memutuskan keputusan berhubung kes itu pada petang Rabu.

"Kenapa tahan beliau sekarang, sebelum Mahkamah Tinggi buat keputusan? Saya harap perkara ini bukan satu helah untuk memprejudiskan Musa di hadapan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu," katanya.

Jelas Amer, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 7 Nov bagi memutuskan kes Musa berhubung saman untuk mengiktiraf beliau sebagai ketua menteri yang sah.

"Penahanan Musa tidak akan menjejaskan kelayakannya sebagai ketua menteri Sabah memandangkan beliau tidak disabitkan sebarang dakwaan jenayah. Bagaimanapun, Musa tidak bersalah dan akan mempertahankan diri dari sebarang pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

"Pertuduhan itu adalah berdasarkan dakwaan yang dibuat 10 atau 14 tahun lalu. Ada unsur pendakwaan terpilih apabila ia dibangkitkan sekarang. Oleh itu, saya harap mahkamah tidak akan prejudis atau terpengaruh dengan penahanan bermotifkan politik oleh SPRM ke atas anak guam saya," kata peguam itu.

 

Kenyataan Media Penuh Peguam Tan Sri Musa Aman

Penahanan YAB Tan Sri Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelang Rabu, iaitu hari yang ditetapkan untuk pembacaan keputusan penghakiman oleh Mahkamah Tinggi tentang siapa Ketua Menteri Sabah yang sah, boleh dipersoalkan, kata Amer Hamzah Arshad, peguam yang mewakili Musa.

"Kenapa baru sekarang beliau ditahan? Kenapa SPRM hanya bertindak demikian 2 hari sebelum Mahkamah Tinggi membacakan keputusan penghakimannya? Saya harap ini bukanlah satu helah dalam cubaan pihak tertentu untuk menjejaskan imej Tan Sri Musa di mata Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu" kata Amer.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan tarikh 7 November sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusan penghakimannya ke atas Saman Pemula yang difailkan oleh Musa bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.

"Penahanan Tan Sri Musa ini tidak akan menjejaskan kelayakannya untuk bertindak sebagai Ketua Menteri Sabah kerana beliau tidak disabitkan dengan sebarang tuduhan jenayah. Walau apapun, Tan Sri Musa tidak bersalah dan akan bersungguh-sungguh membuat pembelaan terhadap semua tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau," ujar Amer ketika disoal oleh pemberita.

"Tuduhan-tuduhan yang dibuat ini adalah berdasarkan tuduhan yang dilakukan 10 hingga 14 tahun yang lalu. Pemilihan masa oleh SPRM untuk membuat tuduhan ini juga memberi gambaran berlakunya suatu bentuk 'pendakwaan terpilih'. Justeru, saya berharap agar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tidak prejudis serta tidak akan terpengaruh dengan penahanan bermotif politik yang dibuat oleh SPRM ke atas anak guam saya ini kerana beliau sememangnya berhasrat ingin membersihkan nama baiknya dalam masa terdekat ini."

Menurut Amer lagi, YAB Tan Sri Musa Hj Aman telah dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan mana-mana lagi pihak berkuasa yang lain.

KUALA LUMPUR
5 November 2018

4 Comments