Perak berbeza dengan Sabah, keputusan mahkamah tidak masuk akal kata Jeffrey
02:11 Nov 08, 2018  |  By SabahKini2
Perak berbeza dengan Sabah, keputusan mahkamah tidak masuk akal kata Jeffrey

Jeffrey mempersoalkan jika mahkamah memberi kuasa kepada gabenor, bukannya DUN untuk menentukan siapa yang mendapat kepercayaan majoriti Adun. Keputusan mahkamah ini tidak masuk akal.

KOTA KINABALU- Datuk Jeffrey Kitingan mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai ketua menteri berdasarkan afidavit wakil rakyat kerana ia akan mewujudkan trend berbahaya yang boleh menjadi ikutan tanpa perlu kembali kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, alasan mahkamah tiada keperluan mengemukakan usul kepercayaan dalam DUN Sabah seakan-akan sama dengan krisis di Perak pada 2009.

“Ini bermakna perlembagaan kita sama dengan kes Perak, di mana saya tidak setuju,” katanya merujuk krisis politik di Perak yang menyaksikan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat jatuh 10 bulan selepas menang dalam pilihan raya umum 2008.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak permohonan Tan Sri Musa Aman untuk mengisytiharkan pelantikan Shafie sebagai ketua menteri Sabah, 12 Mei lalu, sebagai tidak sah.

Musa menamakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie sebagai defendan.

Hakim, Datuk Yew Jen Kie berkata, Juhar hanya memerlukan “bukti luar” seperti akuan berkanun wakil rakyat yang berpaling tadah, apabila beliau memutuskan untuk membenarkan Shafie mengangkat sumpah.

Shafie mengangkat sumpah kurang 48 jam, selepas Musa mengangkat sumpah pada 10 Mei lalu, susulan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14.

Tetapi, beberapa wakil rakyat Umno dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) kemudiannya berpaling tadah untuk menyokong gabungan Warisan-Pakatan Harapan.

Jeffrey mempersoalkan jika mahkamah memberi kuasa kepada gabenor, bukannya DUN untuk menentukan siapa yang mendapat kepercayaan majoriti Adun.

“Adakah ini juga bermakna Agong boleh menentukan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad boleh kekal sebagai perdana menteri,” soalnya.

“Keputusan mahkamah ini tidak masuk akal. Di manakah demokrasi dan kedaulatan undang-undang?” - FMT

7 Comments