Bajet Sabah 2019: Shafie U-Turn kali kedua akui rezab dan “Surplus Budget” dicapai BN
22:11 Nov 09, 2018  |  By SabahKini2
Bajet Sabah 2019: Shafie U-Turn kali kedua akui rezab dan “Surplus Budget” dicapai BN

Kali kedua Shafie U-Turn. Dulu Rezab Sabah RM4 bilion hanyalah sebagai penipuan 'Creative accounting'. Dulu unjuran RM4b Shafie kata tak kagum, dan rakyat juga tidak kagum tapi kini dia akui 'Surplus Budget' dicapai BN

KOTA KINABALU: Julai lalu Shafie Apdal dan pemimpin Warisan yang berkata bahawa Sabah tidak punya wang atau Rezab Sabah RM4 bilion hanyalah sebagai penipuan 'Creative accounting' kini apabila Shafie Apdal sendiri mengesahkan kedudukan kewangan kerajaan negeri Sabah pada 18 Jun 2018, menunjukkan wang awam berjumlah RM3.305 bilion direkodkan.

Dari jumlah itu  48.7 peratus atau RM1.608 bilion dimiliki oleh kerajaan negeri untuk Akaun Hasil Disatukan manakala, baki jumlah itu sebanyak 51.3 peratus atau RM1.696 bilion dipegang untuk Akaun Amanah Disatukan. Ketika itu Shafie Apdal menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.

[ARTIKEL BERKAITAN: - Shafie U-Turn: Rezab Sabah lebih RM3b, kadar hutang sifar, pemberian 40 hasil bersih lulus zaman BN ]

Shafie U-Turn: Rezab Sabah lebih RM3b, kadar hutang sifar,  pemberian 40 hasil bersih lulus zaman BN

 

Bajet COPY PASTE : Shafie U-Turn lagi, Kerajaan Negeri Bentang Belanjawan Lebihan RM4.16 B Untuk Tahun 2019

Dan hari ini dalam tempoh 3 bulan Shafie Apdal U-Turn mengenai rezab negeri yang kononnya tiada wang kini dalam Belanjawan 2019 yang mengatakan Sabah 'Bankrap' Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan pula untuk membelanjakan RM4.16 bilion bagi tujuan pembangunan dan perbekalan pada tahun hadapan.

Kononnya Belanjawan Negeri pertama kerajaan negeri pimpinan Warisan itu adalah peningkatan 1.35 peratus atau RM55.33 juta daripada Belanjawan tahun ini yang dibuat oleh kerajaan terdahulu. Dana mana Shafie gunakan sejak Sabah Bankrap 3 bulan lalu kalau bukan kerana dana yang ditinggalkan oleh  Tan Sri Musa Aman memerintah sebelum ini.

Dengan anggaran hasil sebanyak RM4.2 bilion untuk tahun hadapan, bajet Kerajaan negeri pada kali ini adalah bajet lebihan dengan keuntungan dianggarkan pada RM105.32 juta.

Apa yang menghairankan dengan Belanjawan Lebihan? Bukankah sebelum ini bajet lebihan Sabah 4 tahun berturut-turut di zaman Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri? Tidakkah ini satu bukti bahawa BN memerintah dengan baik?

[ARTIKEL BERKAITAN: Bajet lebihan Sabah 4 tahun berturut-turut

 Bajet lebihan Sabah 4 tahun berturut-turut pembangkang Sabah kelu lidah?

 

Dan kini baru Shafie Apdal percaya unjuran RM4 bilion itu selepas dua kali U-Turn. 

Bukankah Disember 2017 Shafie mencemuh unjuran hasil kerajaan negeri RM4 bilion itu menganggapnya angka biasa.

Malah Shafie merujuk angka Ibrahim Menudin PKR bahawa angka sama pernah dicapai pada 1978, bererti hasil Sabah lembap sejak lebih 30 tahun lalu.

“Saya tak kagum, dan rakyat juga tidak kagum,” katanya.

Sedangkan semakan dengan jabatan arkib kementerian menunjukkan hasil negeri pada 1978 adalah RM479,027,790 manakala geran persekutuan, sumbangan dan pembayaran balik adalah RM45,790,248, menjadikan hasil keseluruhan tahun tersebut RM524,818,038.

 Dakwaan Shafie ketika itu penuh polemik kononnya hasil Sabah pada 1978 ialah RM4 bilion tetapi hasil kerajaan persekutuan pada 1981 ialah RM6 bilion lebih sahaja.

Kantoi selepas berkata unjuran RM4B dulu tahun 1978 pun pernah dicapai tetapi bila disemak tiada.

Jadi bagaimana dengan angka RM4.2 Bilion 2019?

Shafie mengumumkan Belanjawan Negeri 2019 di Dewan Undangan Negeri berkata jumlah tersebut terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Perbelanjaan Emolumen; Perbelanjaan Berulang; dan  Perbelanjaan Khas.

Mohd Shafie berkata belanjawan bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ berkenaan adalah bagi melaksanakan pelbagai agenda dan program pembangunan untuk kesejahteraan seluruh lapisan rakyat dengan menikmati manfaat-manfaat ekonomi termasuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam serta penyediaan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan sekali gus mewujudkan “multiplier effect” kepada ekonomi Sabah.

“Ini bermakna Kerajaan telah merangka bajet berkedudukan lebihan atau “Surplus Budget” melibatkan jumlah sebanyak RM105.32 juta, yang mana ini penting dalam mengekalkan kestabilan kewangan negeri.

“Lebihan tersebut melibatkan kenaikan sebanyak RM40.43 juta atau bersamaan 62.31 peratus berbanding tahun 2018 dan merupakan jumlah lebihan paling tinggi sejak lima tahun yang lalu,” katanya.

Menurut Mohd Shafie daripada jumlah keseluruhan belanjawan 2019 berkenaan, sebanyak RM742.14 juta disyorkan untuk emolumen, berbelanjaan berulang (RM1,371.94 juta) dan perbelanjaan khas (RM2,045.60 juta).

Katanya perbelanjaan untuk emolumen dalam Belanjawan Negeri Sabah 2019 menurun RM21.53 juta berbanding dengan anggaran RM763.67 juta pada tahun 2018 dan sebab utama penurunan berkenaan disebabkan pengurangan pembayaran gaji ekoran ramai kakitangan dan pegawai kerajaan Sabah telah dan akan bersara selain pengambilan pegawai dan kakitangan baharu melibatkan pembayaran gaji yang lebih rendah.

Perbelanjaan berulang pula, kata Mohd Shafie meningkat sebanyak RM71.09 juta atau 5.46 peratus berbanding anggaran belanjawan 2018 sebanyak RM1,300.85 juta dan peningkatan berkenaan adalah bagi menampung kenaikan kos operasi yang antaranya disebabkan kewujudan sebuah kementerian baharu sepenuhnya iaitu Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dan pewujudan daerah baharu iaitu Pejabat Daerah Kalabakan.

Menurut Mohd Shafie perbalanjaan khas bagi tahun 2019 turut meningkat sebanyak RM5.77 juta atau 0.28 peratus berbanding anggaran belanjawan 2018 iaitu RM2,039.83 juta.

“Peningkatan Perbelanjaan Khas tahun 2019 adalah untuk pembelian kenderaan dan perahu; pengurusan loji air di bawah Kontrak Outsource; dan pembelian air dan perbelanjaan berkaitan dengan penswastaan air; serta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan sebanyak RM800 juta.

“Sebanyak RM380 juta lagi diperuntukkan bagi menambah caruman ke dalam Kumpulan Wang Amanah (Sinking Fund) untuk membolehkan pembayaran balik bon yang akan matang pada hujung tahun 2019,” katanya.

Menurut Mohd Shafie, perbelanjaan pembangunan negeri Sabah pada tahun hadapan disyorkan sebanyak RM934.68 juta dan daripada jumlah itu, peruntukan Kerajaan Sabah sebanyak RM695.39 juta dan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM239.28 juta.

Peruntukan Persekutuan ini yang terdiri daripada Pemberian Pembayaran Balik berjumlah RM59.53 juta dan Pinjaman sebanyak RM179.75 juta.

Sektor Pertanian

Secara keseluruhan, sejumlah RM534.83 juta diperuntukkan untuk membangunkan sektor pertanian  pada tahun hadapan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM142.89 juta kepada Jabatan Pertanian untuk menerus dan meningkatkan lagi pembangunan sektor kecil tanaman di Sabah.

Peruntukan tersebut diperlukan untuk tujuan pembangunan tanaman; khidmat pengembangan; R & D; latihan; akreditasi dan program berkaitan Amalan Pertanian Baik untuk Persijilan myGAP dan myOrganic; penguatkuasaan dan kuarantin; keusahawanan tani dan industri hiliran; subsidi serta insentif pengeluaran hasil-hasil pertanian, katanya.

Bagi mengharungi isu persaingan guna tanah dan kawasan untuk pertanian yang semakin berkurangan, Kerajaan Sabah telah dan akan membangunkan lebih banyak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

“Di samping tiga kawasan yang sudah sedia ada, sebuah TKPM lagi dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2019 iaitu TKPM Masilou, Kundasang, Ranau,” katanya.

Manakala itu, sebanyak RM35.16 juta diperuntukkan kepada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) untuk mengurus dan melaksana program pembangunan komoditi getah dalam tahun 2019.

Agensi ini akan membangunkan kawasan tanam baru dan tanam semula getah seluas 5,016 hektar melibatkan seramai 1,483 pekebun kecil di seluruh Sabah pada tahun hadapan.

Selain daripada melaksanakan program tanam baharu getah, LIGS juga akan meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan kawasan tanaman getah yang telah dibangunkan dalam tahun 2014 sehingga 2018 dengan jumlah keluasan 23,076 hektar  dan melibatkan seramai 7,484 pekebun kecil.

Mohd Shafie berkata bagi meningkatkan lagi pembangunan sektor perikanan, Kerajaan mengagihkan peruntukan sebanyak RM34.81 juta kepada Jabatan Perikanan dan RM12.9 juta kepada Ko-Nelayan pada tahun 2019.

Bagi sektor kecil ternakan tahun 2019, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM68.09 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tujuan mengurus dan melaksanakan program pembangunan ternakan dan penyediaan perkhidmatan haiwan.

Dalam tahun tersebut, Kerajaan akan terus menekankan pembangunan industri tenusu, pembangunan keusahawanan dan industri hiliran. Program Tranformasi Tenusu yang telah dimulakan dalam RMK11 dan diteruskan pada tahun hadapan mempunyai “dual purpose.”

Katanya, matlamat tersebut merangkumi penyediaan bahan mentah kepada industri pemprosesan produk berasaskan susu serta produk sampingan (seperti barangan daripada kulit haiwan) dan juga pengeluaran sekitar 27 hingga 30 peratus keperluan anak lembu untuk pengeluaran lembu pedaging dalam negeri.

Dalam pada itu, Kerajaan negeri akan memperuntukkan sekitar RM3.01 juta untuk tujuan tersebut, sebagai tambahan kepada RM19.11 juta peruntukan Imbuh Balik Persekutuan dalam tahun yang sama kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Peruntukan negeri itu akan dibelanjakan antara lain untuk pembaikan kecil sawah-sawah padi dan Rancangan Saliran di berbagai daerah di Sabah; Rancangan Pengairan dan Saliran di daerah Kota Belud dan Kuala Penyu, katanya.

“Kerajaan juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah bersetuju untuk meneruskan usaha membangun Jelapang Padi Kota Belud.

“Pada masa ini, JPS sedang dan akan melaksanakan kerja-kerja pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut melibatkan kos sebanyak RM340.0 juta sehingga tahun 2020 dengan matlamat meningkatkan hasil pengeluaran  bagi kawasan sawah padi seluas 5,000 hektar,” katanya.

Sektor Pelancongan

Bagi sektor pelancongan yang memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi negeri, kerajaan akan memperuntukkan RM229.89 pada tahun hadapan.

Ini termasuklah peruntukan berkaitan di bawah Jabatan Perhutanan; Sabah Biodiversity Centre dan lain-lain jabatan atau agensi yang turut menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan, katanya.

Menurut Mohd Shafie, bagi tujuh bulan pertama tahun 2018, ketibaan pelancong mencatatkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus untuk mencapai 2.22 juta pelawat berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan bilangan pelawat berjumlah 2.11 juta orang.

Ketibaan pelawat yang tinggi ini dianggar menyumbang kepada nilai resit pelancongan berjumlah RM4.81 billion iaitu dengan kenaikan 8.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM4.46 bilion.

Ketibaan pelancong pada tahun 2018 ini terdiri daripada 1.42 juta pelawat domestik dan sekitar 800 ribu orang pelawat daripada luar negara.

Pada masa sama, tambah beliau Kerajaan kini juga akan terus memperkasakan sektor eko-pelancongan sedia ada di daerah Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan.

Di samping itu, usaha akan dipertingkatkan untuk memperkenal dan membangunkan produk-produk pelancongan luar bandar. Misalnya, aktiviti ‘hiking and trekking’ yang telah diadakan di Kadamaian, Kota Belud telah berjaya menarik pelancong dari beberapa negara asing, khususnya China, Korea dan Eropah.

Bagi menyokong pembangunan eko-pelancongan, Kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM57.65 juta untuk penjagaan alam sekitar, perlindungan hidupan liar dan pengurusan taman-taman warisan dan marin.

Kerajaan Sabah komited untuk melindungi dan melestarikan hidupan liar dengan mempertingkatkan lagi pewujudan Koridor Hidupan Liar (corridor of life) pada tahun hadapan.

Ini amat penting di dalam membolehkan pergerakan hidupan liar yang lebih bebas dan selamat serta mengelakkan kepupusan setempat disebabkan oleh “inbreeding”.

 Pada masa sama, langkah ini dapat mengurang dan menghalang hidupan liar memasuki kawasan ladang pertanian serta kawasan hutan dilindungi. Selain itu, Kerajaan juga akan memperbanyakkan kolobarasi dengan NGO dan syarikat-syarikat perladangan dalam aspek intervensi habitat,” katanya.

Bermula Tahun 2019, tapak warisan, objek warisan atau mana-mana orang hidup sebagai suatu Warisan Sabah akan dipersijilkan.

Bangunan, tugu, tapak purba dan tapak bersejarah yang telah dikenalpasti akan diwartakan sebagai Warisan Sabah sebelum diangkat sebagai Warisan Negara sejajar dengan kehendak Enakmen Warisan Negeri 2017.

Melalui proses ini, Kerajaan akan mempunyai budibicara yang luas untuk mencalonkan mana-mana Warisan Sabah ke peringkat yang lebih tinggi seperti Warisan Negara dan Warisan Dunia, katanya.

Beliau berkata bagi memelihara kepelbagaian warisan budaya dan kepercayaan 32 etnik dan 217 sub etnik di Sabah, Kerajaan adalah komited untuk memastikan kelestarian warisan budaya ini terus relevan dalam agenda pembangunan pelancongan berasaskan budaya (Cultural Tourism).

“Warisan tersebut akan dipatenkan sebagai Harta Intelek Etnik untuk membolehkannya kekal dimiliki oleh etnik berkenaan. Penerbitan bahan budaya dan warisan akan dilonjakkan dari setahun ke setahun untuk memperkasakan generasi muda dengan kebudayaan asal masyarakat Sabah.”

Sektor Perindustrian

Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk merancakkan lagi pembangunan Sektor Perindustrian, Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM162.01 juta untuk pembangunan sektor berkenaan dalam tahun 2019.

Mohd Shafie berkata ini termasuklah peruntukan sebanyak RM33.24 juta kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dan jabatan serta agensi di bawahnya untuk memacu pertumbuhan sektor perindustrian, meningkatkan promosi menarik pelaburan dan menggiatkan aktiviti perdagangan di Sabah pada tahun hadapan.

Katanya, kerajaan hari ini bermatlamat untuk memberi keutamaan kepada pembangunan  sektor pembuatan di Sabah dengan sasaran untuk melonjakkan sumbangan sektor tersebut  kepada KDNK daripada 7.5 peratus kepada 35 peratus dalam tempoh sesingkat yang mungkin.

Dalam hubungan ini, Kerajaan berhasrat meningkatkan eskport keluaran perkilangan bagi menambah bilangan kargo berkontena daripada 270,000 TEU kepada 500,000 TEU setahun.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Sabah akan memperkenalkan strategi dan inisiatif yang lebih berkesan antaranya meneruskan penyediaan infrastruktur, prasarana dan bekalan utiliti berkualiti di taman-taman perindustrian sedia ada di Sabah.

  • Ini termasuklah meneruskan pembinaan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan merancang pembinaan rantaian jalinan sistem keretapi di Sabah bagi mengurangkan kos logistik;
  • Memperbanyakkan penerbangan langsung dua hala dari Kota Kinabalu ke berbagai negara terpilih untuk memudahkan pengeksportan kargo-kargo melalui udara;
  • Merancang pewujudan Digital Free Trade Zone (DFTZ) di KKIP dan di Pantai Timur Sabah;
  • Menggalakkan pembangunan dan penggunaan teknologi yang dipacu oleh Industry Revolution (IR) 4.0;
  • Merangka pelan-pelan perniagaan komprehensif bagi projek pelaburan yang hendak dibangunkan dan menubuhkan pasukan perunding pelaburan profesional untuk mewakili Kerajaan Sabah dalam mendapatkan keyakinan pelabur; dan
  • Membangun tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri, memperkasa Industri Kecil dan Sederhana (IKS); dan memantapkan lagi sistem penyampaian kerajaan.

Bagi menarik pelaburan dan menggalakkan lagi pertumbuhan di sektor perindustrian, Kerajaan Sabah juga akan memperkenalkan beberapa insentif baharu.

Beliau berkata antara yang utama ialah insentif dalam bentuk pengurangan kadar premium yang dikenakan kepada pemberimilikan tanah untuk tujuan industri pembuatan dan tukar syarat guna tanah daripada kegunaan pertanian ke industri pembuatan.

“Kadar premium untuk pemberimilikan tanah untuk tujuan pembuatan akan dikurangkan daripada 70 peratus kepada 60 peratus daripada harga pasaran tanah industri yang belum dibangunkan.

“Manakala, kadar premium tukar syarat gunatanah daripada pertanian kepada industri pembuatan akan dikurangkan daripada 15 peratus kepada 10 peratus berdasarkan 70 peratus harga pasaran tanah industri yang belum dibangunkan,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Sabah juga akan mengurangkan kadar cukai tanah tahunan daripada 1 peratus hingga ke 0.75 peratus harga pasaran bagi tanah-tanah yang dibangunkan untuk tujuan industri pembuatan berkuatkuasa mulai 01 Januari 2019 dan dikhaskan untuk pembangunan industri pembuatan baharu yang dapat menyediakan sekurang-kurangnya 100 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Kerajaan juga akan menarik minat syarikat-syarikat swasta untuk melabur dalam industri yang berpotensi seperti perabot, automotif dan industri Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) yang amat diperlukan untuk menyokong industri penerbangan di Sabah, katanya.

PEMBANGUNAN PEMBOLEHDAYA (ENABLERS)

Secara keseluruhan, sektor ini telah disyorkan agihan peruntukan yang besar oleh Kerajaan berjumlah RM1.26 bilion pada tahun hadapan.

Daripada jumlah tersebut, RM1 bilion adalah diagihkan kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur manakala, baki selebihnya diperuntukkan di bawah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan-jabatan di kementerian lain yang turut terlibat membangunkan kemudahan infrastruktur serupa.

Katanya, bagi tahun hadapan, sejumlah RM250.12 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan program-program pembangunan jalanraya, pembaikan cerun, bangunan kerajaan dan pengangkutan awam.

Program pembangunan jalanraya ini akan meliputi pembinaan dan naiktaraf jalan-jalan di kawasan bandar dan luar bandar, termasuk ke kawasan pertanian, pelancongan dan perindustrian di berbagai daerah di Sabah, katanya.

Pada tahun 2019, JKR akan antara lainnya melaksanakan program-program berikut:-

  • Membina dan menaiktaraf jalan-jalan di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan juga jalan-jalan di pekan-pekan kecil dengan peruntukan sebanyak RM31 juta;
  • Menangani kesesakan lalulintas dengan melaksanakan program pengurusan trafik dan keselamatan lalu lintas dengan peruntukan sebanyak RM4.7 juta;
  • Membina bangunan kerajaan dengan peruntukan RM3.96 juta. Ini termasuklah pembinaan sebuah rumah kerajaan di Daerah Kecil Tungku; dua buah kuarters kerajaan; sebuah rumah rehat di Paitan; bangunan tambahan di Pejabat Daerah Kunak; serta Kompleks JKR Telupid;
  • Membuat kajian, merekabentuk dan juga membina dua buah jambatan iaitu di Jalan Tun Fuad dan jambatan Sg. Telangkai, Nabawan dengan peruntukan RM5 juta;
  • Menyiapkan dua cerun iaitu di KM 2.3 Jalan Penampang Lama dan KM10.70 Jalan Ranau-Tambunan dengan peruntukan RM3.4 juta; dan
  • Melaksanakan kerja-kerja membaikpulih stesen-stesen pam, loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan di berbagai daerah seluruh Sabah dengan peruntukan sebanyak RM43.45 juta daripada pembiayaan Kerajaan Sabah dan sebanyak RM69 juta lagi di bawah Pinjaman Persekutuan pada tahun 2019.

Bagi tahun 2019, Kerajaan Sabah akan memperuntukkan sebanyak RM636.69 juta kepada Jabatan Air Negeri Sabah untuk tujuan operasi dan pelaksanaan program pembangunan.

Sebagai tambahan, Mohd Shafie berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM76.27 juta yang dibiayai melalui Pinjaman Mudah Persekutuan pada tahun yang sama.

Antara lain program yang akan dilaksanakan di bawah Pembiayaan Negeri pada tahun hadapan, termasuklah:-

  • Program Khas Bekalan Air dengan kos RM130.0 juta;
  • Program Mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tak Berhasil dengan kos RM9.0 juta;
  • Kerja-kerja Kecemasan atau Luar Jangka untuk Bekalan Air di seluruh Sabah dengan anggaran perbelanjaan atau kos sebanyak RM7.0 juta;
  • Program-program Menaik taraf Paip Utama, Agihan dan Retikulasi; Penyambungan Paip; dan Membina/Menaik Taraf Loji dan Muka Sauk dengan kos RM9.45 juta; dan
  • Program Peningkatan Kualiti Air sebanyak RM5.5 juta.

Daripada peruntukan mengurus, sejumlah RM14.53 juta diagihkan untuk tujuan menangani tanah luncur dan payahan serta penyenggaraan awam dan kejuruteraan jentera.

”Ini penting di dalam memastikan perkhidmatan rel sentiasa berkeadaan selamat serta memuaskan kepada para penumpang. Manakala, peruntukan pembangunan sebanyak RM8.05 juta akan dibelanjakan antara lainnya untuk program menaiktaraf landasan dan perolehan lokomotif,” katanya.

Bagi Jabatan Pelabuhan dan Dermaga pula, Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM20.54 juta pada tahun 2019 untuk penyediaan perkhidmatan pengawalan dan penjagaan keselamatan lalu lintas air serta pembangunan kemudahan di pelabuhan.

Menurutnya, Kerajaan melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan terus membantu Pihak Berkuasa Tempatan, dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di dalam melaksanakan program pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam.

Untuk itu pada tahun 2019, KKTP diperuntukkan sebanyak RM94.48 juta untuk operasi dan pembangunan.

Peruntukan tersebut diagihkan antara lainnya untuk penyediaan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti medan selera, pasar umum, tamu dan lanskap, termasuk juga pembinaan pejabat pentadbiran, serta pembangunan infrastruktur di kawasan Pekan-pekan Baru.

Bagi menangani banjir serta pencegahan hakisan tebing sungai dan pantai, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM127.31 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk tujuan pembangunan infrastruktur perparitan di kawasan pekan dan bandar.

Antara lain program yang akan dilaksanakan pada tahun 2019, termasuklah Rancangan Mencegah atau Tebatan Banjir di Sungai Tawau, Tawau dan Sungai Petagas Kg. Sendil, Putatan; dan Rancangan-rancangan Saluran Bandar seperti di Bandaraya Kota Kinabalu, Penampang dan Tawau; serta Saluran Bandar Kecil di Kudat, Beaufort, Taman Jumbo Putatan dan Tenom

2 Comments