Jambatan pertama projek 'membazir' Pan Borneo Sabah dibuka
12:11 Nov 19, 2018  |  By SabahKini2
Jambatan pertama projek 'membazir' Pan Borneo Sabah dibuka

Pan Borneo yang dulu dikatakan membazir kini menampakkan hasilnya. Daripada 35 pakej kerja di bawah projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah itu, 12 pakej kini sedang dalam pelaksanaan melibatkan kira-kira 2,500 pekerja termasuk kakitangan BHP,

PAPAR: Jambatan baharu sepanjang 150 meter merentasi Sungai Papar di Kampung Simpudu, menjadi jambatan pertama siap dibina di bawah Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan mula dibuka kepada lalu lintas sejak bulan lalu.

Jambatan di Kampung Simpudu yang dibina di bawah Pakej Kerja 5 (Papar-Donggongon) merupakan satu daripada 26 jambatan akan dibina di sepanjang lima Pakej Kerja bermula di Pakej Kerja 1 (Sindumin-Kampung Melalia) dalam daerah Sipitang sehingga ke Pakej Kerja 5 (Papar-Donggongon) di bawah projek lebuh raya Sabah itu.

Jambatan baharu di jalan raya yang melalui Kampung Simpudu dan dikenali penduduk tempatan sebagai Jalan Papar Lama, mula dibina pada Ogos 2016 dan siap Julai tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP), Muhammad Fadzil Abdul Hamid berkata pada masa ini, jambatan baharu berkenaan digunakan sebagai laluan dua hala sehingga sebuah lagi jambatan baharu di sebelahnya dibina menggantikan jambatan lama sedia ada di situ.

"Kerja-kerja merobohkan jambatan lama (Jambatan Datuk Salleh Sulong) sudah dimulakan bulan lepas. Jambatan besi berusia 42 tahun itu dirasmikan Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Lim Guan Sing (kini Datuk) pada 7 Okt 1976.

"Ia dinamakan Jambatan Datuk Salleh Sulong sempena nama wakil rakyat Papar ketika itu yang juga Menteri Kewangan Sabah yang terkorban dalam nahas pesawat pada 6 Jun 1976," kata Muhammad Fadzil kepada pemberita sempena program lawatan media ke jambatan baharu itu di sini hari ini.

Muhammad Fadzil berkata pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan Jambatan Datuk Salleh Sulong itu akan dimulakan pada Januari tahun hadapan, sebaik sahaja kerja-kerja meroboh jambatan lama selesai, dan jambatan baharu kedua itu dijangka siap pada Mac 2020.

Mengenai penyiapan Pakej Kerja 5 sepanjang 11.7 kilometer (Papar-Donggongon) di bawah projek Lebuh Raya Pan Borneo berkenaan, beliau berkata ia kini mencapai 43 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2020.

Katanya penyiapan pembinaan lebuh raya pakej berkenaan mengalami sedikit kelewatan berbanding jadual asal, antara lain disebabkan proses pengambilan tanah yang perlu dilakukan secara baik dan berhemah kerana ia melibatkan tanah-tanah penduduk.

Muhmmad Fadzil berkata daripada 35 pakej kerja di bawah projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah itu, 12 pakej kini sedang dalam pelaksanaan melibatkan kira-kira 2,500 pekerja termasuk kakitangan BHP, kontraktor, perunding, pembekal dan sebagainya.

Mengenai entiti BHP yang masih kurang difahami sesetengah pihak, Muhammad Fadzil berkata BHP sebenarnya adalah Rakan Penyampai Projek (PDP) kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan beserta agensi-agensi masing-masing. -- Bernama

4 Comments