Gerai bahu jalan di tanah rizab JKR Sabah, dinaik taraf
23:11 Nov 28, 2018  |  By SabahKini2
Gerai bahu jalan di tanah rizab JKR Sabah, dinaik taraf

Gerai di bahu jalan di Sabah yang terletak dalam tanah rizab Jabatan Kerja Raya (JKR) akan dinaik taraf secara berperingkat.

SEMPORNA- Gerai di bahu jalan di Sabah yang terletak dalam tanah rizab Jabatan Kerja Raya (JKR) akan dinaik taraf secara berperingkat.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata perkara itu merupakan cadangan Ketua Menteri Sabah yang mahu membantu pengusaha kecil di Sabah selain meningkatkan imej Sabah Baharu di mata pelancong.

"Kita naik taraf mana-mana gerai yang dibuat daripada papan serta uzur kepada gerai dalam bangunan konkrit ini sekali gus dapat merancang kedudukan gerai yang tidak teratur.

Ini bantuan kerajaan negeri kepada rakyat (pengusaha kecil) dengan kita sediakan tempat rehat seperti Rehat dan Rawat (R&R) yang ada gerai, tandas termasuk tempat solat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak tangki simpanan baharu Hospital Semporna sempena lawatan kerja rasminya di Tawau dan Semporna, hari ini. Hadir sama pada lawatan itu Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew.

Dalam pada itu, Peter berkata fasa pertama naik taraf itu melibatkan gerai bahu jalan di daerah Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu hingga ke Pitas.

"Hari ini saya mengarahkan perkara sama kepada JKR untuk naik taraf gerai dari Tawau hingga Kalabakan," katanya ini akan memberi keselesaan kepada pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke Sabah.

Sementara itu, Peter berkata kerajaan negeri masih menunggu keputusan Kementerian Kewangan di peringkat persekutuan untuk membuat penyelesaian berhubung status pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.

"Pada peringkat negeri kita putuskan selepas meneliti pelaksanaan terdahulu berlaku ketirisan dan syarikat konsesi yang melaksana Pan Borneo iaitu (Syarikat Borneo Highway) PDP Sdn Bhd dibatalkan dan perlu penambahbaikan untuk penstrukturan semula pelaksaan lebuh raya tersebut," katanya lagi.

Sebelum ini Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah bercadang untuk mengeluarkan pembabitan  syarikat berkenaan yang telah dilantik sebagai kordinator untuk pelaksanaan projek lebuh raya itu dan akan diambil oleh Jabatan Kerja Raya di bawah kementerian itu.

Selain itu, beliau berkata kesemua pembayaran yang melibatkan pampasan tanah dan bangunan yang terlibat dalam Projek Lebuh Raya Pan Borneo sudah dan sedang dalam proses pembayaran.

Peter juga meminta supaya JKR dan Jabatan Tanah diberikan ruang untuk membuat semakan dalam  melaksanakan pembayaran  pampasan memandangkan  pampasan untuk Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah  sepanjang 42km dianggarkan mencecah lebih RM1 bilion sementara projek sama di Sarawak sepanjang  790km  memerlukan bayaran pampasan RM800 juta. 

Kenyataan beliau itu sekali gus menyangkal dakwaan Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri Henrynus Amin bahawa kementeriannya menahan bayaran berkaitan pampasan tanah untuk Projek Lebuh Raya Pan Borneo. - Bernama

 

 

2 Comments