PPBM ganti UMNO Sabah Kedudukan Warisan bakal tergugat?
09:12 Dec 11, 2018  |  By SabahKini2
PPBM ganti UMNO Sabah Kedudukan Warisan bakal tergugat?

Desas-desus wakil rakyat UMNO Sabah keluar parti akan diumumkan tidak lama lagi. PPBM masuk ke Sabah dikatakan dengan cara ini.Apakah ia mampu menggugat Parti Warisan?

Empat Ahli Parlimen UMNO dari Sabah dijangka akan mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan. 

Menurut sumber itu lagi, Pengerusi UMNO Sabah Datuk Hajiji Hj Noor dijangka akan turut membuat pengumuman untuk membubarkan UMNO Sabah dan berpindah ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dikatakan 20 lagi ADUN UMNO Sabah akan turut sama mengumumkan keluar parti bersama-sama Datuk Hajiji.

“Pengumuman itu akan dibuat esok oleh Datuk Hajiji,” sambung sumber itu.

Desas-desus Hajiji keluar UMNO sudah digembar-gemburkan sejak sebulan lalu namun UMNO menafikannya.

Dua Ahli Parlimen UMNO, Anifah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan) telah bertindak keluar parti terlebih dahulu masing-masing pada September dan Oktober lalu.

Anak Musa merangkap Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez yang sehingga kini masih belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat dan mempunyai masa sehingga 15 Januari depan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun beberapa Ketua Bahagian termasuk Datuk Bung Moktar dikatakan tidak akan mengikut rakan-rakannya meninggalkan parti dan memilih untuk kekal bersama UMNO.

UMNO kini mempunyai lima Ahli Parlimen dari Sabah iaitu Abd Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Zakaria Mohd Edris (Libaran), dan Bung Moktar Radin (Kinabatangan).

Barisan Nasional (BN) Sabah sudahpun dibubarkan apabila UMNO negeri itu bersama tiga parti tempatan yang lain bersama-sama menubuhkan blok pembangkang baharu, iaitu Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Bagaimanapun blok Gabungan Bersatu Sabah memberi syarat kepada UMNO Sabah agar parti itu dibubarkan jika mahu menyertai GBS.

Tun M dikatakan mahu parti PPBM masuk ke Sabah walaupun sebelum ini tidak ada usaha untuk membawa PPBM ke Sabah. Penyertaan wakil rakyat UMNO ke PPBM membuka ruang PPBM masuk ke Sabah sebagai syarat wakil rakyat UMNO itu keluar parti kerana mereka tidak mahu menyertai parti Warisan.

Dengan penyertaan pemimpin UMNO Sabah ke PPBM pasti mengukuhkan lagi kedudukan PPBM. Ramai melihat ini cara biasa Tun Dr Mahathir mengukuhkan kedudukan PPBM yang kini terus memerlukan jumlah kerusi yang banyak serta mengurangkan pengaruh Shafie Apdal dan Warisan.

14 Comments