Menteri dan Pembantu Menteri Warisan 'perang terbuka' lantikan ahli Majlis Daerah Putatan
17:12 Dec 22, 2018  |  By SabahKini2
Menteri dan Pembantu Menteri Warisan 'perang terbuka' lantikan ahli Majlis Daerah Putatan

Gara-gara kerana kuasa- Adun Tanjung Aru, Datuk Junz Wong mendakwa Adun Petagas, Datuk Uda Sulai memungkiri janji untuk memasukkan wakil dari Tanjung Aru dalam Majlis Daerah Putatan.

KOTA KINABALU: Dua Adun Warisan berbalah secara terbuka susulan dakwaan pelantikan ahli Majlis Daerah Putatan yang berat sebelah.

Adun Tanjung Aru, Datuk Junz Wong mendakwa Adun Petagas, Datuk Uda Sulai memungkiri janji untuk memasukkan wakil dari Tanjung Aru dalam Majlis Daerah Putatan.

Sebaliknya, Wong berkata, Uda memilih orang sendiri untuk mengisi semua jawatan ahli majlis itu, tindakan yang disifatkannya bertentangan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Wong ialah menteri pertanian dan industri makanan Sabah, manakala Uda ialah bekas pemimpin cawangan Umno di Putatan serta pembantu menteri undang-undang dan hal ehwal anak negeri.

“Kami serah 6 nama untuk dimasukkan dalam majlis daerah itu. Kami turut menghantar satu nama bagi mewakili masyarakat Cina, walaupun beliau secara teknikal bukan dari Tanjung Aru dan satu lagi nama yang diminta Uda sendiri.

“Malangnya, hanya 2 nama itu diterima dan 4 lagi nama dari Tanjung Aru ditolak. Beliau turut memilih jiran sebelah rumahnya sebagai ahli majlis itu.”

Wong berkata, beliau dan Uda membuat perjanjian yang masing-masing mempunyai kuota tertentu untuk mengisi kekosongan itu.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku, tetapi ini bukan amalan sihat.

“Rakyat mengundi untuk perubahan kerana kita mahu menghapuskan sistem lama. Sistem itu diamalkan Barisan Nasional dan Umno, itu sebabnya mereka ditolak.

“Saya tidak menuduh sesiapa, tetapi nampaknya mereka mula membina sistem ‘little napoleon’ sendiri di sana.”

Katanya, pada zaman pemerintahan BN, terdapat 7 ahli majlis BN yang mewakili Tanjung Aru ketika itu dan tidak semunya dari Umno semata-mata.

Petagas dahulu diwakili Datuk Yahya Hussin yang juga bekas timbalan ketua menteri, manakala Tanjung Aru diwakili Adun dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Edward Yong.

Kedua-dua kerusi negeri itu terletak di bawah Parlimen Putatan.

Semalam, 18 ahli Majlis Daerah Putatan mengangkat sumpah, walaupun pelantikan mereka dibantah kem Wong.

Uda dilaporkan berkata, ahli majlis itu dilantik Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong.

Beliau turut mengakui memberi 18 nama bagi jawatan itu dan hanya memilih 2 daripada 6 nama diberikan Wong kepadanya.

Beliau mencadangkan penambahan jumlah ahli majlis bagi memasukkan 4 calon dari Tanjung Aru yang tidak dilantik. - FMT

3 Comments