Sarawak bidas Guan Eng mengenai tunggakan hutang
09:01 Jan 08, 2019  |  By SabahKini2
Sarawak bidas Guan Eng mengenai tunggakan hutang

Sarawak antara negeri yang tidak mempunyai hutang belum bayar/tunggakan bagi bayaran balik pinjaman…ini dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya

KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini menjelaskan setiap tahun peruntukan mencukupi disediakan dalam belanjawan tahunannya bagi membayar balik pinjaman kerajaan persekutuan, yang berjumlah RM2.38 bilion setakat 31 Dis, 2018.

Mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam berhubung tunggakan pinjaman kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri berkata pinjaman dibayar tepat pada masanya berdasarkan jadual bayaran balik seperti ditetapkan dalam perjanjian.

“Malah, Sarawak ialah antara negeri yang tidak mempunyai hutang belum bayar/tunggakan bagi bayaran balik pinjaman…ini dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya dan dibentangkan pada Majlis Kewangan Negara,” kata Pejabat Ketua Menteri.

Katanya bagi kes Sarawak, pinjaman persekutuan diperoleh untuk membiayai pelaksanaan pelbagai projek bawah Senarai Serentak yang termasuk bekalan air, pembetungan, kawasan perindustrian, perumahan dan pertanian terutamanya perladangan kelapa sawit yang melibatkan pekebun kecil.

“Ia merupakan prosedur biasa yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi negeri-negeri untuk mendapatkan pembiayaan persekutuan sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman.

“Bentuk pembiayaan, sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman, akan berdasarkan pada jenis projek, iaitu, sama ada projek akan menjana perolehan di masa depan (nilai komersial),” menurut kenyataan itu.

4 Comments