Majlis Gereja Nabawan selar Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Sabah
09:01 Jan 09, 2019  |  By SabahKini2
Majlis Gereja Nabawan selar Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Sabah

Pengerusinya Daud Anggau berkata, penganjuran majlis keagamaan itu tidak wajar dipertikai kerana sesiapa pun umat Kristian termasuk pemimpin-pemimpin boleh menghadirinya tanpa mengira ideologi dan fahaman politik.

NABAWAN: Majlis Gereja-Gereja Nabawan (MGGN) terkilan dengan kenyataan Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pensiangan Raymond Ahuar yang mempertikaikan kebersamaan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Bobbey A. Suan pada Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baru anjuran MGGN baru-baru ini.

Pengerusinya Daud Anggau berkata, penganjuran majlis keagamaan itu tidak wajar dipertikai kerana sesiapa pun umat Kristian termasuk pemimpin-pemimpin boleh menghadirinya tanpa mengira ideologi dan fahaman politik.

Katanya, sebenarnya penganjuran majlis yang dikelolakan oleh MGGN itu mempunyai objektif yang tersendiri tanpa campur aduk dan memikir ideologi politik.

“Objektif  pertama penganjuran majlis adalah mengeratkan silahturahim diantara umat kristian tanpa mengira suku dan tidak membezakan dinomenasi-dinomenasi yang lain” katanya mengulas kenyataan Raymond yang mempertikaikan kehadiran atau kebersamaan Ewon dan Bobbey pada majlis tahunan MGGN itu.

Yang kedua katanya, adalah mengukuhkan kesatuan diantara semua dinomenasi gereja-gereja yang terdapat di daerah ini agar tidak merendah-rendahkan atau mengira kuantiti diantara sesama umat.

Dan yang ketiga jelas Daud, MGGN mempunyai peranan penting di mana pemimpin-pemimpin gereja setiap dinomenasi diberitanggungjawab untuk menyampaikan berita-berita baik kepada semua umat agar dapat menghayati pengisian Natal atau Krismas itu sendiri.

“Di samping itu selaku umat kristian wajib merayakan sambutan krismas dan mengadakan rumah terbuka dan mengalu-alukan kehadiran semua umat kristian malah tidak mengira suku dan agama serta latar belakang” kata Daud.

Menyentuh kehadiran kehadiran Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick selaku perasmi Natal dan Tahun Baru itu seharusnya tidak boleh dipertikaikan kerana kehadiran beliau telah dibincang terlebih dahulu melalui  beberapa mesyuarat para komiti jawatankuasa pelaksana dan telah dipersetujui bersama.

“Oleh sebab itulah beliau (Ewon) dijemput sebagai tetamu kehormat dan seterusnya perasmi majlis tersebut” jelas Daud.

Tambah Daud lagi, kebersamaan Ewon dan Bobbey tidak dilarang oleh ajaran agama Kristian malah digalakkan lagi.

Menurut Daud, Bobbey pun secara profesional berkata kebersamaannya dalam majlis itu adalah sebagai insan biasa seorang yang beragama kristian dari dulu sehingga sekarang.

Jelas Daud lagi, Ewon dan Bobbey pada majlis itu bersifat sebagai pemimpin profesional kerana tidak menyentuh politik dalam ucapan mereka.

“Kenapa pula pemimpin parti-parti lain sibuk mempertikaikan majlis keagamaan itu. Kami berpaut dengan amalan yang baik sama juga dengan majlis-majlis keagamaan yang lain” ujarnya.

Dalam perkembangan yang lain Daud berkata, mereka mengucap syukur dan amat berterima kasih kepada Ewon kerana menyalurkan bantuan kewangan kepada MGGN sebanyak RM16,000  dan satu set alat muzik bernilai RM20,000.

Katanya, ucapan jutaan terima kasih juga kepada Bobbey yang tidak jemu-jemu untuk menghulurkan bantuan kewangan bagi membiayai penganjuran Natal dan Tahun Baru Gabungan yang kini sudah mencapai kali ke 15 dengan sumbangan kewangan RM10,000.00 setiap kali penganjuran.

“Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada Raymond yang menyumbangkan kerusi sebanyak 600 unit untuk keperluan MGGN” kata Daud.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis yang dihadiri oleh lebih kurang 1,000 umat dari gereja-gereja kristian di daerah ini.-SabahNewsToday

Comment