Jangan ganggu : Shafie tolak Bersatu kerana baru berkuasa 7 bulan
17:01 Jan 11, 2019  |  By SabahKini2
Jangan ganggu : Shafie tolak Bersatu kerana baru berkuasa 7 bulan

Shafie kata dia ada 30 tahun pengalaman di beberapa kementerian di peringkat persekutuan.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan tidak membenarkan Bersatu melebarkan sayap di negeri ini bagi membolehkan kerajaan Sabah memberi tumpuan mentadbir negeri ini dengan baik.

Beliau yang juga Presiden Warisan berkata keputusan itu diambil bukannya menunjukkan parti berkenaan tidak memberi kerjasama kepada Bersatu.

Beliau berkata Warisan sudah menjalin kerjasama dengan Bersatu sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas dan sejak dari awal lagi menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

"Saya juga ada pengalaman termasuk selama 30 tahun di beberapa kementerian di peringkat persekutuan ketika kerajaan sebelum ini, (sekarang) berilah saya peluang mentadbir Sabah yang kini baru masuk tujuh bulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baru 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Kampung Taginambur dekat Kota Belud, hari ini.

Hadir sama Anggota DUN Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Ewon Benedick.

Mohd Shafie berkata kerjasama dengan kerajaan persekutuan diteruskan selepas Warisan menerajui kerajaan baru Sabah.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan juga memberi kerjasama baik kepada kerajaan negeri termasuk melantik beberapa menteri dan timbalan menteri persekutuan dari negeri ini, di kementerian penting.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Mohd Shafie berharap keputusan beberapa pemimpin dan wakil rakyat Umno dan BN Sabah keluar dari parti sebagai satu langkah baik.

"Sebagai pimpinan negeri, kalau boleh kita dapat bersatu di bawah kerajaan naungan yang ada. Kita juga sedar mereka mempunyai pendirian dan maruah tetapi apa yang penting kita saling bantu membantu untuk menjayakan agenda dan harapan rakyat," katanya.

Justeru, beliau mempelawa mereka membuat keputusan bijak untuk bersama di bawah kerajaan sedia ada.

9 Comments