Lelaki Australia cedera parah ditetak PTI
01:01 Jan 26, 2019  |  By SabahKini2
Lelaki Australia cedera parah ditetak PTI

Kerana salah faham. Warga Australia yang telah berkahwin orang tempatan itu ditetak oleh PTI.

TAMPARULI : Lelaki warga Australia parah akibat ditetak dengan parang susulan perselisihan faham dalam kejadian berhampiran Kampung Kiwoi di Tamparuli, Tuaran.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, mangsa yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan menetap di kampung itu parah akibat ditetak di kedua-dua lengan dan belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 30-an menyerang mangsa menggunakan objek tajam dipercayai parang selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

“Pada awalnya, polis menerima aduan daripada orang awam mengenai seorang lelaki warga asing yang ditemui berlumuran darah dan terbaring di tengah jalan.

“Mangsa dikatakan cuba melarikan diri untuk meminta pertolongan apabila dikejar suspek tetapi kawasan itu sunyi dan dikelilingi hutan menyebabkan dia ditetak.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada saksi melihat kejadian manakala pemeriksaan mendapati terdapat tompokan darah pertama dan kedua di permukaan jalan sejauh 40 meter,” katanya kepada NSTP.

Dzulbaharin berkata, polis masih menjalankan usaha mengesan suspek dan orang ramai diminta berhati-hati dan segera melaporkan kepada polis sekiranya melihat individu yang mencurigakan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun keseksaan,” katanya. 

Comment