Roy PTI 'pilak' tetak warga Australia diburu
07:01 Jan 27, 2019  |  By SabahKini2
Roy PTI 'pilak'  tetak warga Australia diburu

Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Dzulbaharin Ismail, ROY warga Filipina berumur 30an tiada dokumen pengenalan diri diburu

TUARAN: Polis hari ini mendedahkan identiti dan gambar suspek yang diburu selepas menetak seorang warga Australia sehingga menyebabkan kecederaan parah berhampiran Kampung Kiwoi, Tamparuli, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata suspek warga Filipina yang tiada dokumen pengenalan diri itu dikenali sebagai Roy dan berusia 30-an.

“Setakat ini, polis masih giat mengesan suspek dan orang ramai diminta segera menghubungi pegawai penyiasat di talian 088-791933, 088-791966, 088-791977 atau tampil ke balai polis berhampiran jika ternampak suspek,” katanya ketika dihubungi

Beliau berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati suspek menggunakan pedang samurai untuk menetak mangsa dan bukannya parang seperti yang dipercayai sebelum ini.

Difahamkan, mangsa, Daniel Boardhurst, 46, yang juga pengusaha rumah penginapan di kampung berkenaan kini dilaporkan stabil namun masih menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu.

Dalam kejadian 2.50 petang, Khamis lalu, suspek berang dan bertindak mengejar mangsa menggunakan pedang samurai dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mereka.

Mangsa cuba melarikan diri untuk meminta pertolongan namun kedudukan lokasi kejadian yang sunyi dan dikelilingi hutan menyebabkan dia tidak sempat lari lalu ditetak di kedua-dua lengan dan belakang kepala. 

Daniel Boardhurst, 46, pengusaha rumah penginapan yang cedera dikatakan memerlukan sumbangan darah O.

5 Comments