Aktivis Dakwa Pemimpin Sabah Kini Bisu Pasal Hutang Putrajaya
19:01 Jan 30, 2019  |  By SabahKini2
Aktivis Dakwa Pemimpin Sabah Kini Bisu Pasal Hutang Putrajaya

Menurut Perlembagaan Persekutuan, adalah mandatori bagi kerajaan persekutuan untuk membayar 40% daripada pendapatannya yang diperoleh di Sabah kepada negeri itu semula

KOTA KINABALU: Seorang aktivis mempersoalkan pemimpin politik pro-kerajaan yang memilih untuk "berdiam diri" berhubung isu pemulangan wang hasil negeri yang terhutang oleh kerajaan persekutuan, sedangkan sebelum Pilihanraya Umum tahun lepas, merekalah yang telah menjuarai isu itu dan mempergunakannya sebagai modal utama untuk berkempen hinggakan akhirnya mereka menang dan berjaya membentuk kerajaan negeri.

"Malah Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking sendiri, yang kini merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia sebelum ini mendakwa bahawa kerajaan persekutuan berhutang dengan Sabah sebanyak RM1 trilion di bawah MA63," kata aktivis Jamain Sarudin dari Solidariti Rakyat Pro-Sabah, merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963.

"Sekarang dia (Darell) senyap. Kalau sudah mereka yang memang bersekutu dengan kerajaan persekutuan pun tidak didengar, apa lagi yang orang lain boleh buat?" tambahnya.

Ulasan itu dibuat selepas mantan Menteri Luar Malaysia, Anifah Aman menggesa Putrajaya supaya menyelesaikan segala bayaran tertunggak terhadap Sabah dan Sarawak, berikutan pengumuman oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mengenai catatan tertinggi kutipan hasil bagi Cukai Langsung.

Minggu lepas Lim mengumumkan bahawa kerajaan telah berjaya mengutip Cukai Langsung sebanyak RM137.035 bilion pada 2018, lebih tinggi berbanding rekod kerajaan sebelumnya iaitu sebanyak RM133.700 bilion yang dicatatkan pada tahun 2014.

Anifah berkata jumlah itu tentu cukup untuk membayar apa yang terhutang dikenakan oleh Putrajaya terhadap kedua-dua negeri.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima 40% daripada pendapatan bersih yang diperoleh oleh kerajaan persekutuan di negeri ini.

November lepas, Lim berkata bahawa sememangnya Putrajaya berhasrat untuk memberikan 40% daripada hasil pendapatan tersebut kepada Sabah tetapi tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk berbuat demikian buat masa ini.

Seorang aktivis yang lain pula berkata bahawa adalah mustahil Putrajaya akan menyalurkan berbilion daripada hasil cukai itu ke kedua-dua negeri.

"Menurut Perlembagaan Persekutuan, adalah mandatori bagi kerajaan persekutuan untuk membayar 40% daripada pendapatannya yang diperoleh di Sabah kepada negeri itu semula," kata bekas ADUN James Ligunjang, merujuk kepada apa yang dijanjikan oleh kerajaan persekutuan kepada Sabah seperti yang termaktub dalam MA63.

Sekiranya Putrajaya tidak berbuat demikian, beliau memberi amaran bahawa "Rakyat Sabah akan bertambah marah pada kerajaan persekutuan".

"Perkara ini telah berlanjutan selama 55 tahun dan kerajaan persekutuan sudah tidak boleh mengetepikan peruntukan perlembagaan ini. Kami perlukan dana untuk pembangunan," sambungnya lagi.

Sebelum itu Jamain, aktivis yang disebutkan terdahulu juga berkata 40% dari jumlah yang dikutip itu adalah kira-kira RM40 bilion hak negeri Sabah.

"Saya menyokong penuh seruan oleh Anifah atau mana-mana pihak lain yang berjuang menuntut hak-hak Sabah, termasuk Warisan, tetapi saya ragu-ragu bahawa kerajaan persekutuan akan melayan semua gesaan ini."

Menurut beliau lagi, kerajaan pusat sebelum ini memberikan alasan hutang negara dan keperluan untuk mendapatkan lebih banyak dana sebelum hak Sabah itu dipulangkan. Kerajaan pusat juga mengatakan bahawa Sabah tidak memerlukannya buat masa ini.

Comment