Azis mahu tangkap 'Pengkhianat' KDN
13:02 Feb 03, 2019  |  By SabahKini2
Azis mahu tangkap 'Pengkhianat' KDN

Terdapat sebilangan kecil pegawai dalam agensi penguatkuasa menjadi dalang dengan membocorkan maklumat operasi sehingga membantutkan usaha membanteras kegiataan jenayah di negara ini.

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pihaknya kini sedang berusaha menjejaki dan menghapuskan “musuh dalam selimut” yang berada dalam agensi penguatkuasa di bawah kementerian itu.

Beliau berkata, terdapat sebilangan kecil pegawai dalam agensi penguatkuasa menjadi dalang dengan membocorkan maklumat operasi sehingga membantutkan usaha membanteras kegiataan jenayah di negara ini.

“Saya tahu ada dalang dalam kalangan kita yang menjadi musuh dalam selimut membocorkan maklumat apabila kita melakukan operasi tertentu. Sebab itu kita sukar untuk menangkap kepala penjenayah itu…yang ditangkap hanya ‘ikan bilis’.

Ini adalah salah satu cabaran yang kita perlu hadapi. Oleh itu kita mahu bersihkan pengkhianat itu untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasa di bawah kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program jelajah Skuad “Realisasi Aspirasi Kesejahteraan Komuniti” anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Darau, dekat sini hari ini.

Mohd Azis berkata, penganjuran program itu sangat bertepatan dalam membantu memerangi dadah di negara ini, selain memupuk masyarakat tentang bahayanya sehingga menjadi musuh nombor satu negara.

“Masalah dadah kini bukan setakat menjadi masalah sosial malah ia kini menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
Oleh itu komitmen dan penglibatan semua pihak diperlukan untuk membanterasnya,” kata beliau.

3 Comments