Bugis dan Jawa 'Pendatang' bukan pribumi Sabah- Maximus
13:02 Feb 03, 2019  |  By SabahKini2
Bugis dan Jawa 'Pendatang' bukan pribumi Sabah- Maximus

Dokumen sejarah daripada kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British lagi membuktikan masyarakat Bugis dan Jawa bukan pribumi utara pulau Borneo.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah hari ini menggesa kerajaan negeri mengadakan referendum mengenai rancangan mengiktiraf orang berketurunan Bugis dan Jawa sebagai pribumi, dan menuduh kerajaan Warisan cuba mengubah lanskap politik Sabah.

Presiden Datuk Seri Maximus Ongkili memberi amaran kepada kerajaan negeri jangan menggunakan undang-undang untuk mendapat kelebihan politik.

“Kami menuntut kerajaan Warisan mengadakan referendum untuk mendapatkan pandangan semua rakyat Sabah. Ia mesti tidak boleh mengubah atau melanggar hak dan undang-undang melindungi pribumi Sabah dan rakyat negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Aidi Mokhtar berkata negeri sedang pertimbang untuk memasukkan 2 komuniti itu dalam takrif pribumi Sabah.

Tetapi Ongkili berkata langkah itu tidak sensitif dan tidak akan diterima rakyat Sabah.

“Kami mengesyaki ada rancangan untuk mengubah lanskap politik Sabah dan mencetuskan ketakseimbangan kaum untuk tujuan politik,” katanya.

“Sekiranya kerajaan Warisan bertegas meneruskan pindaan undang-undang itu, mesti ada rundingan meluas dengan semua pihak di peringkat akar umbi,” tambahnya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu menghormati masyarakat Bugis dan Jawa tetapi bertegas mereka bukan pribumi Sabah.

Beliau berkata dokumen sejarah daripada kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British lagi membuktikan masyarakat Bugis dan Jawa bukan pribumi utara pulau Borneo.

“Mereka pendatang dari kawasan Borneo lain dan kepulauan Indonesia,” katanya.

11 Comments