20 Mac keputusan semakan semula kes JANS
23:02 Feb 20, 2019  |  By SabahKini2
20 Mac keputusan semakan semula kes JANS

Semakan itu berkaitan keengganan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat menarik diri daripada mendengar perbicaraan dan bantahan terhadap perintah Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan bersama tiga tertuduh lain.

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 20 Mac depan untuk keputusan bagi permohonan semakan semula bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong, yang didakwa atas pertuduhan berkaitan kes pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menetapkan tarikh itu dan mengarahkan kedua-dua pihak pendakwa serta pembelaan untuk memfailkan hujah mereka pada 6 Mac ini.

Nurchaya turut menetapkan 27 Februari untuk pasukan pendakwaan mengemukakan afidavit jawapan mereka selepas Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meminta lebih banyak masa.

Pada awal bulan ini, Chee Kong mengemukakan tiga permohonan semakan melalui peguamnya ke mahkamah.

Semakan itu berkaitan keengganan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat menarik diri daripada mendengar perbicaraan dan bantahan terhadap perintah Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan bersama tiga tertuduh lain.

Chee Kong melalui peguamnya turut memfailkan notis usul berhubung pengeluaran dokumen dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditolak hakim Mahkamah Sesyen.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Tengku Amir Zaki, berkata Chee Kong turut meminta SPRM memulangkan dokumen pemulangan cukai pada tahun 2004 dan 2005.

"Kita membantah dan mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk membuat keputusan sama ada Hakim Mahkamah Sesyen (Abu Bakar) akan menarik diri dan perbicaraan dijalankan berasingan," katanya.

Chee Kong diwakili oleh peguam Roland Cheng dan dibantu Ram Singh.

Bulan lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan 21, 22 dan 23 Februari ini untuk perbicaraan Chee Kong bersama-sama bekas Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib; isterinya, Fauziah Piut; dan seorang lagi bekas Timbalan Pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng.

Perbicaraan itu ditangguhkan ke tarikh yang belum ditentukan.

Pada 13 Disember lalu, Chee Kong mengaku tidak bersalah atas 78 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 kerana memiliki 70 bidang tanah hasil aktiviti haram menerusi 78 transaksi dengan nilai pindah milik sebanyak RM12.705 juta.

Tertuduh turut tidak mengaku bersalah terhadap 68 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dengan enam kesalahan memiliki wang tunai daripada aktiviti haram berjumlah RM7.93 juta, termasuk RM1.978 juta dalam bentuk mata wang asing.- BH

Comment