Semua kampung luar bandar di Sabah nikmati bekalan air, elektrik selepas PRU17
14:02 Feb 25, 2019  |  By SabahKini2
Semua kampung luar bandar di Sabah nikmati bekalan air, elektrik selepas PRU17

Datuk Ewon Benedick Menteri KPLB Sabah memaklumkan semua kampung luar bandar Sabah akan menerima bekalan air dan elektrik 16 tahun lagi iaitu selepas PRU17.

KOTA BELUD- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyasarkan semua kampung luar bandar di negeri itu akan menikmati kemudahan bekalan air bersih dan elektrik menjelang 2035.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kerajaan negeri juga bertekad membina lebih banyak rumah baharu menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin selain menaik taraf jalan luar bandar yang masih dalam keadaan daif.

“Semua sasaran itu dimasukkan dalam 10 Bidang Keberhasilan Utama dan 316 petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian dilancarkan pada 6 Dis 2018, dan bagi memastikan ia tercapai, kita perlu merangka pelan strategik selaras dengan keadaan semasa memandangkan bajet kerajaan negeri dan persekutuan adalah terhad.

"Selain itu, penglibatan badan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat korporat turut dialu-alukan untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat bagi membantu seterusnya melengkapkan usaha kerajaan mencapai sasaran itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Penutupan Program Teras Pembangunan Belia Kota Belud di sini, hari ini.

Ewon berkata kementeriannya kini dalam proses membuat semakan dan mengemas kini Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah 1998 memandangkan ia tidak lagi relevan kepada dasar dan pendekatan semasa kerajaan negeri.

Ewon juga berharap proses semakan dan kemas kini pelan strategik pembangunan luar bandar Sabah itu dapat disiapkan seterusnya diumumkan pada tahun ini.

"Dalam tahun ini, kerajaan akan melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar Nasional di peringkat persekutuan. KPLB Sabah telah menyemak dasar-dasar itu selain turut mengadakan bengkel bagi memberi input berkaitan termasuk melihat bagaimana  ia dapat dilaksanakan di Sabah setelah dilancarkan nanti,” katanya.

Mengenai program hari ini, Ewon yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kadamaian berkata ia dapat membantu Kampung Paka-Paka mempromosikan eko pelancongan dan kawasan menarik berpotensi sebagai tarikan pelancongan.

-- BERNAMA

3 Comments