Isteri, 2 anak CEO Cradle Fund akan didakwa membunuh
11:03 Mar 04, 2019  |  By SabahKini2
Isteri, 2 anak CEO Cradle Fund akan didakwa membunuh

Laporan bedah siasat kedua kemudian mendapati Nazrin mati akibat kecederaan di kepala, bukan berpunca daripada telefon bimbit meletup

Isteri dan dua anak bekas CEO Cradle Fund Nazrin Hassan bakal didakwa atas kesalahan bunuh hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, turut akan didakwa adalah seorang lagi individu yang masih bebas.

"Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan ke atas Samirah Muzaffar, 43, dua anak lelaki (Nazrin) yang masing-masing berumur 15 dan 17 tahun, dan seorang lagi yang masih bebas.

"Ketiga-tiga (isteri dan dua anak lelaki) ditahan di kediaman mereka jam 6.45 pagi tadi. Pertuduhan akan dibuat jam dua petang ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya," katanya lagi.

Sekysen 302 Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan bunuh, yang boleh membawa kepada hukuman mati jika sabit kesalahan.

Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu. Ketika itu, Allahyarham dikatakan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.

Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Polis kemudian menyoal siasat anggota keluarganya, termasuk mereman isteri dan menahan dua anak tirinya.

Pada 8 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham digali semula agar bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baru mengenai kematiannya.

Laporan bedah siasat kedua kemudian mendapati Nazrin mati akibat kecederaan di kepala, bukan berpunca daripada telefon bimbit meletup.- Mkini

Comment