Dr M tolak tuntutan Manila ke atas Sabah
15:03 Mar 07, 2019  |  By SabahKini2
Dr M tolak tuntutan Manila ke atas Sabah

Isu itu timbul selepas Duta Filipina ke Malaysia, Charles Jose, bulan lalu berkata, Manila belum menarik balik tuntutan ke atas Sabah, sebaliknya negara itu tidak aktif meneruskan tuntutan berkenaan ketika ini.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak sebarang tuntutan Filipina ke atas Sabah yang menjadi pertikaian kedua-dua negara kebelakangan ini.

“Bagi kami, tiada tuntutan,” katanya dalam wawancara bersama ABS-CBN hari ini.

Isu itu timbul selepas Duta Filipina ke Malaysia, Charles Jose, bulan lalu berkata, Manila belum menarik balik tuntutan ke atas Sabah, sebaliknya negara itu tidak aktif meneruskan tuntutan berkenaan ketika ini.

[ARTIKEL BERKAITAN- Filipina kekal tuntut Sabah dan Kerajaan negeri bantu warga Filipina tanpa dokumen di Sabah ]

Wisma Putra kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan menegaskan Sabah ialah sebahagian daripada Malaysia, seperti diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa sejak pembentukan persekutuan pada 16 September 1963

Putrajaya melalui Kementerian Luar, secara konsisten menolak tuntutan Manila dan terbaru pada Julai 2018, apabila Ahli Jawatankuasa Rundingan Mengkaji Semula Perlembagaan Filipina 1987, Aquilino Pimentel Jr, mencadangkan negeri itu dijadikan wilayah Filipina dalam usaha ia beralih kepada sistem persekutuan.

Walaupun banyak kenyataan dilaporkan media, Manila belum mengambil sebarang tindakan rasmi seperti memfailkan tuntutan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa secara rasmi.

Mahathir yang dalam lawatan kerja 3 hari ke Filipina memberitahu ABS-CBN, beliau tidak akan membincangkan isu itu dengan Presiden, Rodrigo Duterte yang dijadualkan menemuinya hari ini.- FMT

8 Comments