Kabinet setuju pindaan jadikan Sabah, Sarawak, Semenanjung rakan kongsi
16:03 Mar 08, 2019  |  By SabahKini2
Kabinet setuju pindaan jadikan Sabah, Sarawak, Semenanjung rakan kongsi

Persetujuan untuk meminda perlembagaan berkenaan dibuat semasa mesyuarat Kabinet Rabu lepas dan ia satu langkah besar ke arah merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata Kabinet bersetuju untuk membuat pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai rakan kongsi.

Beliau berkata persetujuan untuk meminda perlembagaan berkenaan dibuat semasa mesyuarat Kabinet Rabu lepas dan ia satu langkah besar ke arah merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pindaan perlembagaan ini akan dibentangkan kepada Parlimen pada persidangan yang dijadual bermula 11 Mac ini dan untuk merealisasikan pindaan itu memerlukan sokongan 2/3 majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Pakatan Harapan (PH) mempunyai 135 ahli Parlimen termasuk 9 daripada Warisan dan 1 daripada Upko. Untuk mendapatkan sokongan 2/3, kita memerlukan 148 ahli Parlimen.

“Namun saya amat yakin semua ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak akan memberi sokongan sepenuhnya untuk menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai 2 wilayah berasingan dengan Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Forum Keadilan Restoratif – Alternatif kepada Pemenjaraan hari ini.

Liew berkata untuk mengambalikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63, adalah sangat bertepatan dimulakan dengan meminda perkara Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan membuatkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung rakan kongsi yang mempunyai hak sama rata.

“Selepas pindaan itu Sabah dan Sarawak bukan lagi dikenali sebagai ‘negeri’ dan banyak lagi perkara yang kami akan laksanakan selepas itu untuk memastikan semua hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dapat dilindungi.

“Kami mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta ketua menteri Sabah dan Sarawak kerana mengambil berat tentang usaha ini.”- fmt

8 Comments