Azis gempur sarang penagih, pengedar dadah ‘anak bangsa kita’ di Sepanggar
13:03 Mar 10, 2019  |  By SabahKini2
Azis gempur sarang penagih, pengedar dadah ‘anak bangsa kita’ di Sepanggar

Azis bimbang masih ramai 'anak bangsa kita' yang terjebak dalam najis dadah, Beliau telah dan dalam usaha membenterasnya di Sepanggar.

KOTA KINABALU: Polis menahan 25 lelaki disyaki penagih dan pengedar dadah, termasuk berusia 14 tahun, di kawasan setinggan berhampiran Kampung Cenderamata 2, Likas, di sini.

Dalam serbuan melalui Ops Sarang yang diketuai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, sebanyak lapan gram syabu turut dirampas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata semua suspek berumur 14 hingga 63 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Masih ramai anak bangsa kita yang terjebak dalam najis dadah, saya berharap operasi sebegini dapat digiatkan dan lebih agresif dijalankan bagi mengelakkan ia daripada menjadi lebih serius”. katanya dalam facebook

“Kawasan Sepanggar adalah pusat pentadbiran Kerajaan Sabah dan kita tidak mahu ia dikenali sebagai pusat penyalahgunaan dadah.

“Operasi hari ini (semalam) adalah usaha dilakukan setiap minggu bagi memastikan kawasan Parlimen Sepanggar dapat dibersihkan daripada gejala, terutama pengedaran dan pengambilan dadah,”

“Kejayaan operasi hari ini (semalam) juga adalah hasil bantuan orang ramai kerana ia membabitkan rangkaian cukup besar dan bukan sahaja berada di Malaysia tetapi juga luar negara.

Mohd Azis juga berkata, rumah setinggan yang dikenal pasti menjadi sarang penagih atau pengedar dadah, akan dirobohkan.

“Kita meminta kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, mana-mana rumah dikesan menyimpan syabu atau apa-apa jenis dadah di kawasan setinggan, kita robohkan saja.

“Kita tidak berkompromi mengenai ini (dadah) kerana isu berkenaan sudah lama berlarutan. Kita perlu tegas dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu netizen dalam komen-komen facebook berkata yang kena tangkap menunjukkan adalah bangsa asing atau Pendatang Tanpa Izin.

“Ia bukan bangsa kita tu, tetapi PTI. Sepatutnya PTI ni ditangkap dan dihantar balik sebelum merosakkan orang-orang Sabah yang berurusan dadah di kawasan itu”. Kata Johnny..

 

4 Comments