Berjuta PTI lega, Sabah laksana program pemutihan pekerja asing mula 1 April
01:04 Apr 02, 2019  |  By SabahKini2
Berjuta PTI lega, Sabah laksana program pemutihan pekerja asing  mula 1 April

Akhirnya keutamaan Kerajaan Warisan untuk memberi dokumen serta memutihkan pekerja asing ditunaikan. Lebih 1 juta PTI di Sabah gembira dengan keputusan kerajaan Warisan ini.

KOTA KINABALU: Kini berjuta pekerja asing di Sabah boleh didaftarkan secara sah. Majikan yang menggaji pendatang tanpa izin sebagai pekerja dalam sektor perladangan dan pertanian boleh mendapatkan pas yang sah bagi mereka bermula 1 April hingga 30 September, 2019.

Ini berikutan arahan Kerajaan  Warisan Sabah mengenai pelaksanaan program regularisasi bagi pekerja asing yang tidak sah di sektor perladangan dan pertanian, kata pengarah Imigresen Sabah Datuk Musa Sulaiman dalam kenyataannya pada Isnin.

Datuk Musa Sulaiman- Seperti diarahkan Kerajaan Negeri

Menurutnya, Jabatan Imigresen telah menerima makluman dari Kerajaan negeri mengenai keputusan tersebut.

Oleh itu bagi tujuan pelaksanaan program ini, Jawatankuasa Program Regularisasi Sektor Perladangan Dan Pertanian Negeri Sabah telah ditubuh dan diaktifkan bermula pada 1 April.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah adalah urusetia bagi jawatankuasa ini, katanya.

program regularisasi bagi pekerja asing dijangka memberi manfaat kepada lebih 1 juta warga asing di Negeri Sabah.

Menurut Musa, program itu bertujuan membantu meningkatkan pembangunan ekonomi sektor perladangan dan pertanian yang berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja.

Ianya juga bertujuan membantu menyelesaikan isu keselamatan berhubung kehadiran pendatang tanpa izin (PTI) di sektor perladangan dan pertanian.

Melalui program ini majikan yang sedang menggaji PTI dalam sektor peladangan dan pertanian berpeluang mendapatkan pas yang sah bagi pekerja-pekerja asing mereka.

Namun, kesemua PTI dan tanggungan yang didaftarkan terlebih dahulu akan diambil tindakan kompaun sebelum proses pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara atau Pas Tanggungan dilaksanakan.

Menurutnya, program regularisasi ini akan membantu agensi penguatkuasaan merancang tindakan yang lebih berkesan pada masa hadapan.

Walaupun program ini berjalan daripada 1 April hingga 30 September namun tarikh bagi penerimaan permohonan kuota majikan adalah dari tempoh 1 April 2019 sehingga 30 Jun 2019 sahaja, katanya.

Berikut adalah maklumat penuh program:

  • Terbuka kepada majikan di sektor perladangan dan pertanian atau sub-sektor pertanian;
  • Pekerja yang hendak didaftarkan adalah warganegara Indonesia dan Filipina sahaja, serta mematuhi syarat-syarat umur sedia ada;
  • Pekerja adalah PTI yang dikategorikan dibawah kesalahan seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sahaja. Bagi kesalahan di bawah seksyen 15(1)(c), PTI hendaklah telah berada di Negeri Sabah sebelum 01 Januari 2019;
  • Program ini membenarkan pekerja didaftarkan bersama tanggungan (isteri dan anak sahaja);
  • Kesemua PTI dan tanggungan yang didaftarkan akan diambil tindakan kompaun terlebih dahulu sebelum proses pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara atau Pas Tanggungan dilaksanakan;
  • Setiap pekerja yang hendak didaftarkan hendaklah mempunyai pasport yang sah dari negara berkaitan dan tempoh sah laku pasport tidak boleh kurang dari 18 bulan;
  • Majikan juga boleh mendaftarkan pekerja yang tidak memiliki pasport. Walau bagaimanapun majikan bertanggungjawab untuk mendapatkan pasport pekerja melalui Kedutaan / Konsulat sebaik permohonan kuota diluluskan.

Musa berkata permohonan kuota oleh majikan, hanya di terima di Bahagian Pekerja Asing, Ibu Pejabat Kota Kinabalu sahaja dengan menyertakan senarai lengkap pekerja yang hendak didaftarkan.

Setelah permohonan kuota diluluskan, majikan perlu mengemukakan pasport pekerja untuk tindakan lanjut di mana-mana Pejabat Jabatan Imigresen / daerah di  seluruh Sabah yang terdekat mengikut lokasi majikan, katanya.

Kadar bayaran program regularisasi Sabah 2019 adalah seperti berikut:

Perkara ini selaras dengan hasrat Kerajaan Warisan pada 27 Jun 2018 untuk memberi dokumen kepada berjuta pekerja asing di Sabah.

[ARTIKEL BERKAITAN- Kerajaan negeri akan beri dokumen kepada pekerja asing haram di Sabah ]

November tahun lalu Datuk Wilfred Madius Tangau menyeru rakyat Sabah berfikiran terbuka dan tidak memandang negatif isu membabitkan pengambilan pekerja asing demi memastikan sektor perladangan dan perindustrian dapat diteruskan untuk pembangunan negeri.

[ARTIKEL BERKAITAN- Rakyat Sabah perlu positif pengambilan pekerja asing- Tangau ]

Rakyat Sabah perlu positif pengambilan pekerja asing- Tangau

 

 

35 Comments