(VIDEO) Lelaki 'Sabahan' mengamuk di bank ditembak polis
22:04 Apr 02, 2019  |  By SabahKini2
(VIDEO) Lelaki 'Sabahan' mengamuk di bank ditembak polis

Maklumat mengatakan anggota URB cuba diserang oleh 1/L/Sabahan dengan pisau dan dalam usaha mempertahankan diri saspek telah ditembak di bahagian perut.

KLANG: Seorang lelaki cedera ditembak selepas dipercayai mengamuk dan menyerang seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang tadi, di sebuah bank di Bukit Tinggi, di sini.

Kejadian berkenaan yang dipercayai berpunca daripada kegagalan suspek mengeluarkan wang daripada bank itu, turut dirakamkan orang awam yang kemudian tersebar melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, pihaknya menerima panggilan mengenai seorang lelaki yang mengamuk di sebuah bank di Bukit Tinggi sebelum dua anggota URB 3 dikejarkan ke bank berkenaan.

Katanya, sebaik tiba, kedua-dua anggota URB itu mendapati suspek sudah beredar dan pengawal keselamatan di bank itu memaklumkan, suspek memberitahu akan kembali semula ke bank itu pada jam 2 petang.

"Suspek memberitahu pengawal keselamatan itu, jika dia tidak boleh juga mengeluarkan duit, dia akan mengamuk lagi.

"Pada jam 2 petang, pengawal keselamatan menghubungi semula anggota URB 3 dan memaklumkan suspek itu sudah berada di bank berkenaan.

"Anggota URB 3 menghala semula ke bank itu dan mendapati suspek berada di hadapan bank dalam keadaan marah dan memegang pisau," katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, seorang daripada anggota URB 3 itu cuma menenangkan suspek selama 20 minit namun lelaki itu bertindak agresif dan mengejar anggota berkenaan sebelum cuba menikamnya dengan pisau.

Katanya, bagi mempertahankan diri, anggota URB 3 itu serta rakan setugasnya melepaskan empat das tembakan dengan dua daripadanya mengenai bahagian perut suspek.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki itu berusia 41 tahun dan berasal dari Sabah tetapi menetap di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang.

Katanya, kejadian berlaku selepas wang dipercayai belum masuk ke dalam akaun milik suspek manakala sebuah mesin juruwang automatik (ATM) turut dirosakkan ketika kali kedua suspek datang dan mengamuk di premis berkenaan.

"Suspek sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan manakala kedua-dua anggota URB itu tidak mengalami kecederaan.

"Hasil pemeriksaan pihak kami menemui pisau lipat berukuran kira-kira tujuh inci (18 sentimeter) serta satu paket mengandungi serbuk putih disyaki dadah.

"Suspek disyaki berada dalam pengaruh dadah ketika kejadian selain mempunyai empat rekod lampau manakala kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

 

Mesej Aplikasu Whatapps yang Tular

Salam YDH Tuan
Makluman awal kes melepaskan tembakan oleh anggota URB

1. Satu kejadian melepaskan tembakan oleh anggota URB telah berlaku di depan Public Bank Bukit Tinggi, Klang.

2. Maklumat awal mengatakan anggota URB cuba diserang oleh 1/L/Sabahan dengan pisau dan dalam usaha mempertahankan diri saspek telah ditembak di bahagian perut.

3. Saspek telah dikejarkan ke HTAR untuk rawatan awal. Unit forensik IPK Selangor sedang menghala. Update kes akan menyusul . Laporan polis (FIR) sedang dibuat.

Sekian untuk makluman awal YDH Tuan.

Tkasih.

 

 

4 Comments