Parlimen Sipitang kekal Yamani Hafez Musa
10:04 Apr 09, 2019  |  By SabahKini2
Parlimen Sipitang kekal Yamani Hafez Musa

Mahkamah batal petisyen pilihan raya Parlimen Sipitang. Hakim Azahari Kamal Ramli mengetepikan permohonan daripada Noor Hayaty Mustapha dari Warisan kes ditangguh

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petiysen pilihan raya untuk Parlimen Sipitang kerana penyalahgunaan proses selepas pempetisyen tidak bersedia dengan dokumen-dokumen berkaitan, termasuk keterangan saksi.

Hakim Azahari Kamal Ramli juga mengetepikan permohonan daripada Noor Hayaty Mustapha dari Warisan memohon kes ditangguh.

Noor Hayaty memfailkan petisyen itu terhadap Yamani Hafez Musa, anak bekas ketua menteri Musa Aman. Yamani memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun lepas.

Mahkamah Pilihan raya membatalkan petisyen itu dengan kos pada 15 Oktober tahun lepas, tetapi Mahkamah Persekutuan kemudian memerintahkan petisyen dihantar kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk dibicarakan.

Perbicaraan sepatutnya berjalan dari 8 hingga 12 April, 17 hingga 28 Jun, 1 hingga 12 Julai, dan 23 hingga 31 Julai.

Peguam Yamani, Jeyan Marimuttu berkata pasukan peguam pempetisyen sepatutnya memfailkan keterangan saksi dan dokumen-dokumen berkaitan 7 hari sebelum perbicaraan.

“Tetapi tiada keterangan saksi difailkan,” katanya

“Mereka diberi masa untuk periksa Borang 13 dan 14, yang mereka lakukan. Tetapi tidak ada dokumen difailkan di mahkamah. Kami sedia bertukar keterangan saksi,” tambahnya.

“Jelas sekali mereka melanggar perintah mahkamah, oleh itu petisyen dibatalkan tanpa perintah mengenai kos.”



Tengku Fuad Ahmad, yang mewakili Yamani berkata, pempetisyen mempunyai banyak masa untuk sediakan dokumen-dokumen yang perlu untuk perbicaraan itu.

“Hakim berkata kegagalan menghasilkan dokumen-dokumen itu dilihat sebagai penyalahgunaan proses, dan tidak bersedia untuk perbicaraan.”

Yamani memenangi kerusi itu dengan kelebihan 852 undi, meraih 12,038 undi berbanding Hayaty yang meraih 11,186 undi.

Peguam Noor Hayaty tidak puas hati.

Sementara itu peguam yang mewakili Noor Hayaty Mustapha dalam petisyen pilihan raya Parlimen Sipitang menganggap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyen sebagai ‘pelik’.

Chung Jiun Dau berkata, barisan peguam mewakili plaintif sebenarnya telah bersedia untuk perbicaraan tetapi perlu memohon penangguhan daripada Hakim Azhahari Kamal Ramli bagi membolehkan dokumen dan kenyataan saksi dikemas kini.

Katanya, permohonan tersebut dibuat bagi memastikan kenyataan saksi yang disediakan merujuk kepada dokumen-dokumen yang baru diterima pihak mereka pada petang Jumaat lalu.

“Hakim menganggap kami tidak mampu meneruskannya tetapi saya mahu tekankan bahawa kami hanya memohon penjadualan semula supaya perbicaraan berjalan lancar.

“Ikatan dokumen hanya diperoleh pada petang Jumaat lalu. Kebiasaannya dalam perbicaraan, anda mahu pastikan semua dokumen lengkap kerana saksi-saksi perlu merujuk dokumen.

“Maka kami mahu sedikit masa untuk memastikan kenyataan saksi yang disediakan merujuk kepada dokumen-dokumen yang baru diterima,” katanya kepada pemberita selepas perbicaraan itu hari ini.

Rabu lalu, hakim yang sama telah memberi kebenaran kepada pihak Noor Hayaty untuk menyemak semula kesemua dokumen bagi setiap peti undi yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi tiada kebenaran diberi untuk menyemak kertas undi.

Azhahari menolak petisyen berkenaan selepas mengatakan permohonan penangguhan itu gagal menepati perintah mahkamah.

Katanya, asas kepada permohonan penangguhan tidak cukup dan tiada ikatan dokumen yang difailkan oleh pihak plaintif walaupun sebelum ini dilihat ada.

“Saya tidak boleh buat apa-apa kerana pihak plaintif belum bersedia untuk perbicaraan dan atas sebab itu, saya menolak permohonan penangguhan dan memerintahkan petisyen ditolak tanpa kos,” katanya.

 

 

 

3 Comments