Bentangkan Semula Pindaan Perlembagaan Persekutuan Bergantung Kepada Keperluan – Dr Mahathir
10:04 Apr 12, 2019  |  By SabahKini2
Bentangkan Semula Pindaan Perlembagaan Persekutuan Bergantung Kepada Keperluan – Dr Mahathir

Bentangkan semula Itu mungkin kemudian, kita akan bincang perkara ini dengan merek

KUALA LUMPUR— Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pembentangan semula pindaan Perlembagaan Persekutuan selepas tidak berjaya mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat semalam akan bergantung kepada keperluan.

“Bentangkan semula Itu mungkin kemudian, kita akan bincang perkara ini dengan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963 gagal mendapat sokongan dua pertiga Dewan Rakyat.

Rang Undang-Undang (RUU) itu memerlukan sokongan 148 daripada 222 anggota Dewan Rakyat tetapi hanya disokong oleh 138 anggota.

Ditanya sama ada RUU itu perlu dibentangkan semula dan dibincangkan oleh sebuah jawatankuasa khas, Dr Mahathir berkata: “Sudah hampir setahun sejak kami mengambil alih kerajaan. Ramai yang bertanya kenapa kami tidak berbuat itu dan ini. Dan bila kami melakukannya dengan pantas, mereka kata kami perlu perlahankan sikit. Kami sangat keliru sama ada kami perlu memperlahankannya. Bolehkah kami perlahankan atau adakah kami perlu menyegerakannya”.

Ditanya mengenai tindakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (Felda), Dr Mahathir berkata itu merupakan satu perbuatan yang serius.

“Ini bukanlah wakil rakyat baharu dilantik, tapi seorang yang pernah menjadi perdana menteri tapi tidak mengambil kira peraturan-peraturan.

“Dia mencetak (memuat naik) satu kertas yang telah di embargo. Jadi, kita pandang serius perkara ini dan kita akan ambil tindakan supaya dia akan diberi peringatan bahawa tidak ada siapa yang lebih tinggi daripada peraturan-peraturan parlimen,” katanya.

Dilaporkan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau telah mengemukakan satu usul supaya Najib dikenakan tindakan tegas kerana melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian FELDA.

Beliau berkata usul itu telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pagi tadi.

Ditanya mengenai gesaan beberapa pihak agar beliau turun padang dan membantu perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata itu terpulang kepada pilihannya.

PRK DUN Rantau, 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

PRK itu diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

— BERNAMA

Comment