[VIDEO] Saksi mengaku Najib buat demi anak yatim, tahfiz dan keramaian rakyat
07:04 Apr 20, 2019  |  By SabahKini2
[VIDEO] Saksi mengaku Najib buat demi anak yatim, tahfiz dan keramaian rakyat

Apa yang didedahkan saksi ialah kewajaran pengubahsuaian itu kerana program anak yatim, tahfiz dan keramaian yang dilihatnya sendiri.

 

KUALA LUMPUR: Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

Rakaman berkenaan dimuat naik menerusi akaun bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil, dan ditonton lebih 270,000 kali serta mendapat lebih 2000 komen selain dikongsi oleh lebih 4000 akaun sehingga kini

Rakaman selama dua minit 12 saat yang turut diberi tajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ itu menunjukkan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menyoal saksi dalam kes itu.

Para peguam Pakatan Harapan bengang dengan penyebaran video itu sebagai menghina mahkamah dan bertindak mahu membuat laporan polis berhubung perkara itu

Semua media perdana menyiarkan berita mengenai ubah suai rumah bekas Perdana Menteri itu seperti dapur, stor dan tangki air seolah-oleh menggambarkan Najib seorang yang boros.

Bagaimanapun video itu mendedahkan semua kerja-kerja ubah suai rumah Najib adalah untuk keramaian, petugas anggota polis, anak yatim, anak-anak tahfiz yang datang setiap minggu di rumah Najib.

 

 Antara fakta-fakta Isham Jalil

Faktanya: kerja-kerja “renovasi” kediaman Dato’ Seri Najib tersebut sebenarnya adalah untuk penambahan pondok polis untuk keselamatan beliau sebagai Perdana Menteri dan juga untuk membaiki dan menambah kapasiti tangki air kediaman beliau supaya ianya boleh menampung majlis keramaian rakyat yang kerap diadakan di kediaman tersebut, bukan untuk bermewah-mewah.

Majlis ini termasuk jemputan kepada pelajar tahfiz dan anak-anak yatim di sekitar Kuala Lumpur yang kerap diadakan di kediaman beliau di Langgak Duta.

Semasa beliau menjadi Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib lebih banyak menginap di kediaman sendiri beliau di Langgak Duta dan tidak banyak menggunakan kediaman rasmi di Seri Perdana.

Oleh itu banyak majlis-majlis bersama tetamu dan rakyat diadakan di kediaman Langgak Duta dan bukan di Seri Perdana.

Seri Perdana adalah amat besar berbanding kediaman beliau sendiri di Langgak Duta dan walaupun ditanggung kerajaan, kos penyelenggaraan dan mengadakan majlis di Seri Perdana adalah jauh lebih tinggi.

Apabila beliau kerap menginap dan mengadakan majlis di Langgak Duta, ianya sebenarnya adalah lebih menjimatkan kerajaan.

Saya telah banyak kali pergi ke rumah Dato’ Seri Najib di Langgak Duta ini. Rumah ini memang rumah banglo, namun ia bukanlah rumah banglo mewah seperti rumah agam Tun Mahathir di Cyberjaya dan Seri Kembangan, atau rumah agam Tun Daim di Hulu Kelang atau rumah tersergam Mokhzani dan Mukhriz.

Ia adalah rumah banglo sederhana yang pada asalnya tidak pun muat untuk menampung majlis yang besar.

Memang ada kerja-kerja renovasi, tetapi untuk menambah pondok polis dan tangki air untuk keselamatan dan kegunaan majlis bersama rakyat, bukan untuk tujuan kemewahan.

KEDUA, sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, semestinya Dato’ Seri Najib mempunyai akses kepada banyak akaun untuk perbelanjaan politik dengan jumlah ratusan juta ringgit untuk parti, NGO atau rakyat.

Namun demikian ini tidak bermakna beliau menguruskan akaun-akaun ini sendiri. Adalah mustahil untuk seorang Perdana Menteri untuk menguruskan akaun-akaun ini sendiri sambil pada masa yang sama menguruskan negara setiap hari. Saya pasti Tun Mahathir pun tidak larat atau mampu untuk menguruskan akaun-akaun beliau sendiri tanpa diketahui sesiapa.

Oleh itu untuk pihak pendakwaraya menganggap yang Dato’ Seri Najib mengarahkan keluar masuk duit ini ke dalam akaun-akaun ini tanpa pengetahuan orang lain adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Oleh yang demikian, sepatutnya pihak pendakwaraya memanggil saksi kritikal kepada kes ini iaitu saksi yang boleh menyokong keterangan di atas (iaitu Dato’ Seri Najib telah mengarahkan duit dimasukkan ke dalam akaun beliau sebagai timbal balas), bukan saksi kontraktor yang menunjukkan mereka telah membina tangki air dan pondok polis di rumah Dato’ Seri Najib menggunakan duit dari akaun beliau.

Apabila pihak pendakwaraya gagal mengemukakan walau seorangpun saksi kritikal di atas, besar kemungkinan yang teori pihak pendakwaraya tersebut adalah tidak benar dan tanggapan mereka tersebut tidak berlaku.

Bayangkan sekiranya perkara ini yang sebenarnya berlaku:

1. Syarikat Ihsan Perdana dan Gandingan Mentari memasukkan duit ke dalam akaun Dato’ Seri Najib atas arahan orang lain atau atas agenda mereka sendiri.

2. Dato’ Seri Najib tidak dirujuk ke atas perkara di atas.

3. Dato’ Seri Najib tidak pernah memberi arahan supaya SRC memasukkan duit ke dalam akaun beliau.

4. Dato’ Seri Najib menggunakan salah satu daripada akaun CSR beliau daripada pelbagai sumber untuk menambah tangki air dan pondok polis di rumah beliau untuk keselamatan dan kegunaan majlis bersama rakyat.

5. Akaun-akaun CSR ini tidak diuruskan oleh beliau tetapi oleh orang lain.

6. Tiada perjanjian timbal-balas antara Dato’ Seri Najib dengan syarikat SRC.

Adakah Dato’ Seri Najib bersalah ke atas hal ini?

Sekiranya beliau bersalah, maka ianya akan menjadi contoh kes (precedent) yang amat tidak baik dan tidak adil dalam undang-undang negara.

Jika ini berlaku, bayangkan pula sekiranya perkara sebegini terjadi kepada anda:

Pada suatu hari ada pihak memasukkan duit ke dalam akaun anda tanpa merujuk kepada anda; seperti biasa anda telah menggunakan akaun anda untuk membeli sesuatu; kemudian duit yang telah dimasukkan oleh pihak itu dituduh dari sumber yang haram; tiba-tiba anda dituduh dan didapati bersalah kerana menggunakan duit haram dan disumbat ke dalam penjara. Bagaimana anda rasa?

Teori Peguam Negara dan pihak pendakwaraya di atas mungkin sama umpama cerita kereta terbang kerajaan PH atau minum sawit awet muda, besar kemungkinan ianya adalah fiksyen.

Mungkin bagi mereka, benda boleh reka tuduh, buat apa cari bukti.

Comment