Dari 'Malaysia dijual kepada China' kini Malaysia adalah 'rakan China'
05:04 Apr 26, 2019  |  By SabahKini2
Dari 'Malaysia dijual kepada China' kini Malaysia adalah 'rakan China'

“Kami adalah negara yang mesra, rakan China dan mempunyai masa depan gemilang dari segi hubungan Malaysia-China,” katanya.

BEIJING: Syarikat China yang ternanti-nantikan gambaran berhubung masa depan hubungan dua hala Malaysia dan republik itu, mendapat isyarat paling jelas daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

“Malaysia adalah rakan China. Kami bersikap mesra perniagaan dengan semua negara di dunia,” katanya dalam dialog bersama tokoh korporat China yang diadakan sempena lawatannya ke Beijing bagi menghadiri Forum Belt and Road (BRF) Bagi Kerjasama Antarabangsa di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut mempelawa ahli perniagaan China ke Malaysia dan melihat sendiri tawaran yang ada.

“Malaysia adalah negara berbilang kaum yang stabil, dengan tiga kaum utama hidup dalam suasana aman.

“Kami adalah negara yang mesra, rakan China dan mempunyai masa depan gemilang dari segi hubungan Malaysia-China,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilabel sebagai ‘pro Jepun, anti China’ apabila beberapa projek mega dengan negara kuasa besar ekonomi Asia itu dibatalkan dan dikaji semula selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan.

Perdana Menteri menafikan dakwaan itu, malah menegaskan beliau kerap mempertahankan China di platform antarabangsa.

Satu lagi petanda positif adalah kejayaan rundingan semula projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai berbilion ringgit yang tertangguh sebelum ini, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan dalam hubungan bilateral.

Mengenai perjanjian berat sebelah membabitkan syarikat China dengan pentadbiran terdahulu yang dibangkitkan seorang peserta, Dr Mahathir berkata, perkara itu boleh dikaji semula.

Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah negara stabil manakala peraturan dan undang-undangnya mudah diikuti.

“Kita tidak banyak berubah. Peraturan dan undang-undang kekal walaupun kerajaan bertukar. Pentadbiran terdahulu berkuasa selama 61 tahun (22 tahun PM ke4),” katanya sambil menambah dasar dan peraturan berhubung pelaburan asing juga tidak berubah.

Tokoh korporat yang hadir membangkitkan pelbagai isu, termasuk pendirian Malaysia berhubung tenaga diperbaharui, bilangan cuti umum yang terlalu banyak dan didakwa menjejaskan produktiviti, pengwujudan taman industri serta penggunaan kereta elektrik.

Mengenai cuti perayaan, Dr Mahathir berkata, ia penting bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Saya pasti anda boleh membuat aturan tertentu dalam soal cuti umum, mungkin membayar kerja lebih masa atau bekerja pada Sabtu atau Ahad.

Perdana Menteri turut menerangkan usaha Malaysia untuk berubah daripada sumber tenaga konvensional kepada tenaga diperbaharui seperti kuasa hidro, solar dan angin.

Bagaimanapun, beliau membuat penegasan: “Bukan nuklear.”

Kepada satu soalan, Dr Mahathir berkata, kerajaan boleh mempertimbang untuk mengkaji semula kadar cukai pendapatan individu dan korporat jika ia boleh menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

“Kami tiada cadangan untuk menaikkan cukai, tetapi mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan cukai,” katanya.

Comment