RM1 Juta Najib: Madius Tangau ‘kambing hitamkan’ Mojigoh berbohong di mahkamah
11:05 May 06, 2019  |  By SabahKini2
RM1 Juta Najib: Madius Tangau ‘kambing hitamkan’ Mojigoh berbohong di mahkamah

Kerana wang RM1juta akhirnya Presiden Upko Madius Tangau gelabah dan bercanggah jawapan dengan bekas bendaharinya Dr Marcus Mojigoh. Bila dapat wang senyap bila kantoi masing-masing menyalahkan

PUTATAN: Kerana wang RM1juta yang dikaitkan dari 1MDB pertelagahan berlaku antara Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dengan bekas bendaharinya Datuk Dr Marcus Mojigoh.

Masing-masing membuat kenyataan bercanggah antara satu sama lain untuk menyelamatkan diri.

Bagi Madius Tangau cara beliau mengelak sudah dijangka selepas berdiam diri seolah-olah Upko tidak pernah menerima wang daripada Najib Tun Razak.

Wilfred Madius Tangau akhirnya mengesahkan akaun parti berkenaan telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Akaun Upko dibekukan sejak kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan,” katanya sambil menambah pembekuan tersebut adalah berikutan siasatan SPRM terhadap wang RM1 juta yang diterima Upko daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Madius lagi Upko tidak pernah membelanjakan wang tersebut.

“Ianya sepatutnya digunakan bagi program Jalinan Kasih tetapi tidak dapat dijalankan memandangkan jumlah itu sebenarnya tidak mencukupi jikalau kita ikut cara bagaimana Umno menjalankan program tersebut.

“Oleh itu, wang tersebut kita simpan dalam akaun simpanan tetap parti,” ujar Madius.

Marcus kecam Madius Tangau

Bagaimanapun bekas Bendahari Agung Upko, Datuk Dr Marcus Mojigoh berkata Presiden parti itu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menjadikan beliau kelihatan seperti telah berbohong di mahkamah dengan mendakwa bahawa wang RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak tidak pernah disentuh dan bahawa ia tidak pernah melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat dipanggil “Projek Sayang”.

Katanya, dakwaan Madius bahawa jumlah wang itu masih dalam akaun simpanan tetap parti itu dan bahawa ia mahu memulangkannya telah mengundang pertanyaan orang awam sama ada wang itu adalah daripada 1MDB.

“Dari cara dia dipetik dalam laporan berita kedengaran seolah-olah wang itu adalah daripada 1MDB. Saya tidak pernah cakap apa-apa di mahkamah mengenai wang 1MDB.

“Dia tidak tahu mengenai akaun parti. Saya tahu sebab saya pernah menjadi bendahari dan sayalah yang mengagih-agihkan dana daripada akaun simpanan parti kami kepada bahagian-bahagian,” katanya. 

Menurut Mojigoh, parti itu ada membelanjakan wang dalam akaunnya untuk melaksanakan pelbagai program di bawah Projek Sayang. Tapi, katanya, bukan semua wang itu adalah daripada RM1j yang diberi oleh bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional itu.

Beliau sangat tidak bersetuju dengan Madius bahawa wang RM1 juta daripada Najib dimasukkan terus ke akaun simpanan tetap parti itu.

“Kami tidak boleh memasukkannya terus ke dalam FD (simpanan tetap). Ia mesti dimasukkan ke dalam akaun simpanan parti terlebih dahulu. Kemudian barulah kami pindahkan RM500,000 ke dalam akaun FD untuk simpanan kami. Dan kami pindahkan jumlah yang sama sekali lagi untuk kali kedua,” katanya.

Beliau mengandaikan bahawa wang RM1 juta itu ketika itu “bercampur” dengan wang yang parti ada dalam akaun simpanannya dan jumlah tertentu telah dibelanjakan untuk melaksanakan program-programnya. 

“Itu tidak bermakna kita belanjakan semua wang yang diberi oleh Najib.”

“Tapi kenyataan Madius bahawa wang itu tidak pernah disentuh dan bahawa kami tidak melaksanakan (program-program di bawah Projek Sayang) membuatkan saya kelihatan seolah-olah telah menipu di mahkamah.

“Mungkin dia yang tidak melaksanakannya program atas sebab-sebab topografi di kawasannya. Tapi saya ada melaksanakannya di Putatan dan bahagian-bahagian lain juga melaksanakannya. Kami ada semua laporan.

“Kami juga agih-agihkan dana kepada biro-biro parti kami kecuali bagi biro pendidikan. Kamu boleh tanya (Datuk) Donald (Mojuntin) yang mengetuai biro undang-undang,” katanya.

Mojigoh, yang merupakan saksi pendakwaan ke-15 dalam perbicaraan ke atas Najib berhubung SRC International Sdn Bhd melibatkan jumlah RM42 juta, telah memberi keterangan dan mengesahkan di mahkamah bahawa parti itu telah menerima cek RM1 juta daripada Najib bertarikh 13 Februari, 2015.

Untuk rekod Datuk Wilfred Madius Tangau mengambil alih Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) daripada Tan Sri Bernard Dompok yang melepaskan jawatan Presiden pada  21 Mac 2014.

Oleh itu tidak mungkin Madius tidak mengetahui urusan wang RM 1juta dari cek 13 Februari 2015.

Mengapa Madius dan Upko tidak kecoh disiasat SPRM atau dituduh menerima wang RM1 juta sebagaimana Peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Perkara ini turut berlaku kepada Datuk VK Liew bekas Presiden LDP yang pernah menerima wang dikait 1MDB sebelum ini dalam kes lain namun senyap hingga kini.

[ARTIKEL BERKAITAN- LDP sahkan Menteri V.K Liew curi RM3.5 juta wang dikait 1MDB dari akaun parti ]

4 Comments