PBS tewas teruk, Parlimen Sandakan kekal milik DAP
22:05 May 11, 2019  |  By SabahKini2
PBS tewas teruk, Parlimen Sandakan kekal milik DAP

PRK Parlimen Sandakan adalah PRK kelapan. Sebelum ini DUN Sungai Kandis, Balakong dan DUN Seri Setia Parlimen Port Dickson kekal dipertahankan PH. BN pula kekal pertahan Parlimen Cameron Highlands dan DUN Rantau. Semenyih dirampas dari Bersatu

SANDAKAN: Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan dengan majoriti 11, 521 selepas memperoleh 16,012 undi bagi menewaskan calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491 undi).

Pertandingan lima penjuru itu turut menyaksikan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah mendapat 788 undi; bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat (126 undi) dan ahli perniagaan, Chia Siew Yung (178 undi), sekali gus hilang wang pertaruhan.

Pengumuman rasmi keputusan PRK berkenaan dibuat Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain di pusat penjumlahan undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, Sandakan, di sini, pada jam 9 malam tadi.

Keputusan itu bermakna Shir Yee mempertahankan kerusi disandang sejak dua penggal lalu oleh bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt yang juga Pengerusi DAP Sabah, menang dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi berbanding 8,996 undi diperoleh lawannya daripada Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon LDP, Datuk Lim Ming Hoo.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 jumlah pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51 peratus merangkumi pengundi Cina dan 45 peratus pengundi Bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Seramai 19,857 pengundi atau 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita berjumlah 20,274 atau 50.52 peratus.

Peratusan keluar mengundi PRK Parlimen Sandakan menunjukkan penurunan dengan hanya 54.4 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab kali ini berbanding 72.1 peratus pada PRU-14.

Ahli Parlimen Sandakan baharu, Vivian Wong Shir Yee (tiga dari kanan) mengangkat tangan bersama ibunya Datin Chong Mee Fook (dua dari kanan), Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (empat dari kanan) selepas diumumkan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua. - Foto Khairull Azry Bidin

Penamaan calon PRK Parlimen Sandakan diadakan pada 27 April lalu, disusuli proses pengundian awal yang membabitkan seramai 270 pengundi pada 7 Mei dan pengundian biasa yang membabitkan seramai 39,684 pengundi berdaftar hari ini.

Bandar Sandakan menjadi tumpuan pemimpin Pusat dan negeri termasuk pembangkang sepanjang 14 hari tempoh berkempen bagi PRK berkenaan untuk membantu calon yang bertanding.

Selain pemimpin DAP, turut turun membantu kempen Shir Yee ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Di pihak pembangkang, kempen calon PBS turut dibantu parti pembangkang lain termasuk UMNO dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

PRK Parlimen Sandakan adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau. 

Semua PRK dimenangi kerusi parti masing-masing sebelum ini kecuali Dun Semenyih dirampas dari Bersatu oleh BN.

Kekalahan PBS di Sandakan sudah dijangka memandangkan sebelum ini kedudukan Linda sudah dipersoalkan lebih awal

[ARTIKEL BERKAITAN- PRK Sandakan: Kerana calon 'Recycle', PBS bakal kalah kepada DAP ]

[ARTIKEL BERKAITAN- Apabila isteri Pairin, Genevieve Lee pilih sahabat baiknya Linda Tsen calon PBS PRK Sandakan ]

 

7 Comments