IGP terkejut SB dihalang hadir sidang media Warisan
22:05 May 12, 2019  |  By SabahKini2
IGP terkejut SB dihalang hadir sidang media Warisan

Terkejut juga saya bila membaca aduan ini. Pegawai-pegawai polis yang bertugas di lapangan bukannya musuh kepada mana-mana pihak.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengaku beliau terkejut mendengar aduan yang mengatakan parti Warisan menghalang pegawai polis Cawangan Khas (SB) daripada menghadiri sidang akhbar yang diadakan parti itu di Sabah.

"Terkejut juga saya bila membaca aduan ini. Pegawai-pegawai polis yang bertugas di lapangan bukannya musuh kepada mana-mana pihak.

"Objektif penugasan mereka, sama ada dengan beruniform ataupun tidak, adalah untuk menjaga keamanan dan keselamatan sesuatu premis atau majlis," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, portal berita Free Malaysia Today melaporkan bahawa pemimpin kanan Warisan mengesahkan bahawa parti itu telah memutuskan untuk menghalang polis SB daripada menghadiri sidang media mereka.

"Jika pegawai polis ingin menghadiri sidang media parti itu mereka tidak perlu bepura-pura sebagai wartawan," kata Naib Presiden Warisan Junz Wong.

Laporan itu juga memetik polis SB berkenaan sebagai berkata bahawa dia beberapa kali dihalang daripada menghadiri sidang media melibatkan pemimpin Warisan khususnya membabitkan Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal.

"Kecuali jika mereka berbuat sesuatu yang terang-terangan menyalahi undang-undang, (jika tidak) maka anggaplah pegawai-pegawai ini (SB) sebagai rakan kepada orang ramai," jelas Abdul Hamid.

Ditanya sama ada tindakan parti itu boleh disifatkan sebagai menghalang kerja polis, Abdul Hamid secara ringkas berkata: "Mungkin ada salah faham".

Polis SB biasanya berpakaian biasa, dan ditugaskan untuk menjaga keselamatan premis untuk menteri, dan meneutralkan ancaman sebelum dan semasa majlis yang melibatkan pegawai tinggi kerajaan.

Dalam pada itu Abdul Hamid menegaskan pasukan polis sama beruniform ataupun tidak boleh ditugaskan di mana mana tempat atau sesuatu majlis awam bagi tujuan menjaga keselamatan dan keamanan.

"Jika sesuatu parti politik mengadakan aktiviti umum di premis parti itu sendiri, PDRM pun rasa tidak perlu untuk menugaskan anggotanya, buang masa dan tenaga," katanya.

Sumber- Malaysiakini.com

6 Comments