3.5 juta hektar hutan di Sabah dijadikan hutan simpan kekal
09:05 May 20, 2019  |  By SabahKini2
3.5 juta hektar hutan di Sabah dijadikan hutan simpan kekal

Hutan simpan kekal itu merupakan antara 4.5 juta hektar Kawasan Litupan Hutan yang terdapat di negeri ini.

PAPAR: Seluas 3.5 juta hektar hutan di negeri ini dijadikan Hutan Simpan Kekal untuk dipulihara dan dikekalkan sebagai sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya, kata Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini.

Menurut beliau kawasan hutan simpan kekal itu merupakan antara 4.5 juta hektar Kawasan Litupan Hutan yang terdapat di negeri ini.

Katanya ia demi menjaga kelestarian, kepelbagaian biologi hutan, di samping potensi untuk pendapatan daripada sektor eko-pelancongan berasaskan alam sekitar.

Menurutnya kawasan hutan simpan kekal terdiri tujuh kelas mempunyai nilai estetika yang tidak ternilai seperti sungai, air terjun, tanah tinggi dan panorama yang indah.

Semua ini merupakan aset negeri Sabah yang menjadi daya tarikan utama sebagai destinasi eko-pelancongan di rantau ini, katanya pada sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang dekat sini, hari ini.

Mashor berkata dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan sumber hutan, jabatan tersebut akan terus melaksanakan pemantauan di lapangan, rehabilitasi dan restorasi hutan di kawasan hutan simpan kekal yang terosot nilai.

Beliau berkata sejak 10 tahun lepas, jabatan itu dan pemegang lesen Perjanjian Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA)  telah melaksanakan program restorasi hutan melibatkan kawasan seluas 61,000 hektar yang ditanam 15 juta anak pokok.

Dalam pada itu, beliau berkata 5,000 anak pokok spesis tempatan ditanam sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini.

Pemeliharaan Hutan kerajaan terdahulu

Sebelum ini dibawah kerajaan BN sumber dan kepelbagaian biologi yang terbaik di Sabah dilindungi sehingga merangkumi 30% dari Sabah. Tahap piawaian IUCN adalah 10% tetapi telah pun melebihi tahap tersebut. Pembalakan Kurang Impak (RIL) telah diperkenalkan, pergantungan kepada pendapatan sumber hutan hanya kira-kira 4 % untuk negeri setiap tahun berbanding sebelum ini sebanyak 75% hingga 80%.

Kerajaan negeri Sabah ketika itu juga telah merizabkan sebanyak 52 peratus kawasan hutan simpan manakala Jabatan Perhutanan pula sedang giat membuat penanaman semula kawasan hutan yang menyaksikan ketika ini seluas 700,000 hektar tanah telah ditanam semula.

Ketika bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mula mentadbir negeri pada 2003 hutan Sabah hanya 10 peratus atau 850,000 hektar.

Hari ini jika keluasan hutan Sabah telah meningkat menjadi 3 juta hektar ia sudah tentu baik untuk Negeri Sabah siapapun Ketua Menteri yang memeritah demi generasi akan datang.

Comment